KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 15 Mei depan untuk memutuskan permohonan semakan kehakiman tiga badan bukan kerajaan (NGO) terhadap keputusan kerajaan mengecualikan cecair dan gel rokok elektronik atau vape daripada Senarai Racun.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam K. Shanmuga, yang mewakili Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Pertubuhan Malaysian Green Lung (MGLA) dan Voice of the Children (VOC) manakala Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan serta Peguam Persekutuan Afiq Zainal Abidin hadir bagi pihak Menteri Kesihatan dan kerajaan.
Terdahulu, Shanmuga berhujah bahawa keputusan pada 31 Mac 2023 untuk mengeluarkan nikotin cecair daripada Senarai Racun telah menyebabkan produk vape tidak dikawal dan membolehkan ia dijual kepada golongan kanak-kanak.
“Situasi ini berlarutan hampir 17 bulan sehingga Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akhirnya berkuat kuasa pada Oktober 2024,” katanya sambil menambah bahawa isu yang dibawa ke mahkamah kekal relevan dan akan memberi manfaat kepada orang ramai serta menjadi panduan bagi pelaksanaan Akta Racun pada masa akan datang.
Nurhafizza pula berhujah bahawa Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 telah dibentang dan diluluskan oleh Parlimen pada 30 Nov 2023.
"Antara peruntukan yang terkandung dalam rang undang-undang itu ialah larangan menjual dan menggunakan produk merokok, tembakau serta pengganti tembakau terhadap kanak-kanak di bawah umur.
"Responden berhujah bahawa dengan kelulusan rang undang-undang itu, tiada lagi kelompongan dalam undang-undang yang berkaitan dengan kawalan penggunaan dan penjualan vape dan rokok elektronik kepada orang ramai secara amnya dan khususnya kepada kanak-kanak bawah umur," katanya.
Nurhafizza juga berhujah bahawa Menteri (Kesihatan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa ketika itu) dengan jelas telah menggunakan kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang di bawah Seksyen 6 Akta Racun ketika membuat keputusan itu.
Beliau berkata Seksyen 6 Akta Racun secara jelas memberikan kuasa kepada Menteri untuk meminda senarai racun selepas berunding dengan Lembaga Racun , dan rundingan itu telah diadakan pada 29 Mac 2023.
"Keputusan itu tidak menyalahi undang-undang dan telah dibuat dalam kerangka perundangan," katanya sambil menambah berdasarkan perkembangan itu, permohonan di hadapan mahkamah sudah tidak relevan.
Ketiga-tiga NGO memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 30 Jun 2023 untuk membatalkan sebahagian daripada Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 yang dibuat oleh responden pertama pada 31 Mac 2023, yang mengecualikan cecair dan gel vape daripada Senarai Racun, adalah tidak rasional.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial