WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KLCC Bertukar Litar Lumba Sempena Pelancaran MotoGP 2026

07/02/2026 11:41 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Kawasan sekitar Suria KLCC bertukar menjadi litar lumba malam ini dengan ribuan peminat sukan permotoran berhimpun di Esplanad Menara Berkembar Petronas bagi menyaksikan Majlis Pelancaran MotoGP Musim 2026.

Buat julung kalinya, pelancaran musim baharu perlumbaan itu diadakan di Kuala Lumpur, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab sukan permotoran global menjelang pembukaan MotoGP yang dijadual hujung bulan ini.

Acara kemuncak yang bermula pada 7 malam itu menampilkan perarakan 20 pelumba elit, termasuk juara dunia Marc Marquez, adiknya Alex Marquez serta juara dunia dua kali Francesco Bagnaia.

Para pelumba memperagakan jentera berprestasi tinggi mereka di sepanjang litar sementara sejauh 1.5 kilometer (km) di laluan utama sekitar Menara Berkembar Petronas yang ditutup sementara kepada lalu lintas.

Walaupun hujan renyai, para penonton tetap dihiburkan dengan aksi demonstrasi termasuk aksi stoppie motosikal serta pelancaran rasmi barisan pelumba dan pasukan bagi musim 2026.

Acara itu dimeriahkan dengan suasana berkonsepkan festival yang menggabungkan elemen sukan dan hiburan menerusi persembahan kumpulan pop rock Ireland The Script, DJ Pawsa serta kumpulan wanita tempatan DOLLA.

MotoGP 2026 dijadual bermula secara rasmi dengan Grand Prix (GP) Thailand di Litar Antarabangsa Chang dari 27 Feb hingga 1 Mac.

Selepas tamat ujian musim sejuk di Sepang Khamis lepas, pasukan-pasukan akan menuju ke Buriram, Thailand bagi ujian pramusim terakhir yang dijadualkan pada 21 hingga 22 Feb.

Kejuaraan itu akan kembali ke Malaysia menerusi GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 30 Okt hingga 1 Nov.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan