KUANTAN, 21 Feb (Bernama) -- Bersatu Bahagian Raub dan Lipis mengumumkan pembubaran jawatankuasa bahagian masing-masing berkuat kuasa hari ini.
Ketua Bersatu Raub Datuk Fakrunizam Ibrahim mendakwa keputusan itu dibuat selepas hilang kepercayaan dan hormat kepada kepimpinan parti berkenaan.
“Justeru secara rasmi keseluruhan jawatankuasa Bersatu Bahagian Raub terbubar hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Turut mengambil langkah sama ialah Bersatu Bahagian Lipis yang diketuai Nor Alias Ibrahim yang memaklumkan keputusan itu dicapai setelah mesyuarat khas bahagian dan cawangan sebulat suara memutuskan meletakkan jawatan kerana kecewa dengan kepimpinan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kemelut yang berlaku berlarutan hampir setahun amat mengecewakan. Kami lihat presiden tidak berjaya kawal kemelut yang berlaku dan tidak berbuat apa-apa untuk pulihkan keadaan,” katanya.
Sebelum ini, Bersatu memecat 17 ahlinya termasuk beberapa pemimpin tertinggi merangkumi empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana melanggar perlembagaan parti namun mereka masih berhak mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari.
Selain itu, 22 Bahagian Bersatu di seluruh negara dilaporkan telah dibubarkan susulan krisis kepimpinan parti itu.
Sementara itu, Muhyiddin dalam kenyataan memaklumkan parti itu sedang dalam proses menyusun semula bahagian dan sayap yang terlibat dengan tindakan peletakan jawatan ketua dan ahli jawatankuasanya.
Beliau berkata satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan bersama dua naib presiden, iaitu Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah ditubuhkan bagi melaksanakan proses berkenaan manakala Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai sekretariat pasukan itu.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beliau akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) esok, yang antara lain akan memutuskan mengenai pelantikan pengerusi PN yang baharu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial