KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd (PDB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 meningkat kepada RM1.10 bilion daripada RM1.09 bilion yang direkodkan pada tahun kewangan 2024.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menjelaskan perolehan menokok satu peratus kepada RM38.27 bilion daripada RM37.95 bilion pada tempoh yang sama, disokong peningkatan jumlah jualan sebanyak dua peratus walaupun harga jualan purata turun satu peratus.
Perolehan yang direkodkan segmen runcit meningkat sebanyak RM253.4 juta atau satu peratus, disokong kenaikan harga jualan purata sebanyak enam peratus yang mengimbangi penyusutan jumlah jualan sebanyak empat peratus.
Perolehan segmen komersial juga meningkat sebanyak RM98.1 juta atau satu peratus, didorong pertambahan jumlah jualan sebanyak 12 peratus, terutama daripada pertumbuhan Jet A1 dan diesel, yang mengurangkan kesan penurunan harga jualan purata sebanyak 10 peratus.
Bagaimanapun, perolehan segmen mudah beli susut 12 peratus atau RM33.0 juta kepada RM253.8 juta terutama disebabkan jualan barangan yang lebih rendah.
PDB juga mengisytiharkan dividen interim sebanyak 26 sen sesaham dan dividen khas sebanyak 20 sen sesaham bagi suku berakhir 31 Dis, 2025, menjadikan dividen keseluruhan bagi tahun kewangan 2025 sebanyak 112 sen sesaham, mewakili nisbah pembayaran 100 peratus.
Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Azrul Osman Rani berkata tahun kewangan 2025 merupakan tempoh penting bagi PDB, dengan pihaknya melaksanakan peranan rintis dalam menyokong program BUDI95 kerajaan.
“Menerusi aplikasi Setel, kami membolehkan pengesahan MyKad untuk kelayakan BUDI95 dilaksanakan secara lancar, memastikan akses yang selamat dan mudah kepada rakyat Malaysia selaras dengan inisiatif nasional,” katanya.
Bagi suku keempat, keuntungan bersih PDB meningkat kepada RM258.88 juta daripada RM249.06 juta yang direkodkan pada suku keempat tahun kewangan 2024 manakala perolehan menokok kepada RM10.58 bilion daripada RM8.99 bilion.
Perolehan suku keempat itu meningkat 18 peratus, didorong peningkatan harga jualan purata sebanyak sembilan peratus dan peningkatan jumlah jualan sebanyak lapan peratus.
Dalam melangkah maju, Azrul berkata PDB merancang untuk memperluas portfolio dengan tawaran baharu termasuk kenderaan elektrik dua roda Blueshark.
PDB juga akan mengetengahkan restoran francais khidmat pantas pertamanya dengan menampilkan jenama Afrika Selatan, Steers dan Debonairs, menandakan pengembangan syarikat ke dalam segmen bukan bahan api, katanya.
Beliau berkata Tahun Melawat Malaysia 2026, pelaburan infrastruktur mengikut Rancangan Malaysia Ke-13 serta tumpuan kerajaan terhadap kemampanan dan peralihan tenaga dijangka mewujudkan peluang pertumbuhan.
“PDB berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada peningkatan permintaan perjalanan, penambahbaikan rangkaian jalan raya serta peralihan beransur-ansur kepada penyelesaian mobiliti yang lebih bersih,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial