KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah membelanjakan RM335 juta atau 89.6 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM374 juta, bagi program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) setakat 30 Jun 2025.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin, berkata siling peruntukan pembangunan yang diluluskan kepada MITI di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) sehingga tarikh tersebut berjumlah RM402 juta.
Beliau menjelaskan baki geran RM55.64 juta yang tidak dipulangkan merangkumi RM33.97 juta di bawah Dana Projek Berimpak Tinggi (HIF) yang disalurkan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta RM21.67 juta di bawah Program Pembangunan Pengeluaran Produk Nilai Tambah Tinggi dan Kompleks (HVAD) oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).
Beliau berkata peruntukan tersebut merupakan projek sambungan di bawah seliaan Kementerian Ekonomi seperti yang diluluskan dalam sistem MyProjek.
“Daripada jumlah itu, RM33.97 juta telah digunakan untuk menampung komitmen projek HIF yang telah diluluskan dan masih dalam pelaksanaan.
“Bagi HVAD pula, baki peruntukan dimanfaatkan untuk membiayai 28 projek baharu yang diluluskan dalam RMK-12 sehingga 31 Okt, 2025, dengan komitmen berjumlah RM20.7 juta dan masih dalam pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan agensi persekutuan Tahun 2024 di Dewan Rakyat, menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai status baki geran MITI.
Sim turut mengakui bahawa proses kelulusan melalui sistem MyProjek sahaja adalah tidak memadai, dan aspek tadbir urus perlu diperkukuh selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan PA3.2 seperti yang disyorkan oleh Jabatan Audit Negara.
“Sehubungan itu, MITI akan mendapatkan kelulusan khas secara menyeluruh daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi menjadikan HIF dan HVAD sebagai projek sambungan untuk melunaskan komitmen sedia ada sehingga selesai, memandangkan tempoh pembayaran projek melangkaui tempoh RMK yang ditetapkan.
“Sebarang baki peruntukan akan dipulangkan setelah program ini selesai sepenuhnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial