KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Pindaan terhadap Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) bagi memperkukuh pemantauan, menangani manipulasi harga serta membanteras kartel beras dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pindaan itu antara lain bertujuan mewujudkan peraturan baharu untuk menguatkuasakan spesifikasi penggredan beras, selain penetapan harga kawalan bagi gred beras terpilih.
Beliau berkata melalui peraturan baharu itu, spesifikasi gred dan harga beras akan ditetapkan bagi memastikan ia sentiasa terkawal, sekali gus melindungi kepentingan semua pihak.
"Matlamat utama penetapan harga kawalan bagi gred beras terpilih adalah untuk menjamin kestabilan bekalan beras di pasaran dan melindungi pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah," katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) yang membangkitkan isu berkaitan padi dan beras yang telah lama membelenggu ekosistem makanan ruji negara sehingga membebankan rakyat.
Mohamad berkata peraturan itu turut menetapkan kewajipan kepada pengeluar beras untuk memaparkan maklumat produk secara jelas, termasuk harga dan kandungan beras hancur bagi memastikan pengguna memperoleh maklumat tepat mengenai produk yang dibeli.
"Pelanggaran mana-mana peruntukan di bawah peraturan baharu itu merupakan suatu kesalahan di bawah Akta 522," katanya.
Beliau berkata penggubalan peraturan baharu itu juga akan memperkasa peranan agensi penyelidikan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam menyediakan bukti saintifik kukuh bagi membantu pihak berkuasa dalam proses pendakwaan kes berkaitan beras di mahkamah.
"Kesimpulannya, keputusan menyusun semula struktur gred dan harga beras ini dibuat berasaskan prinsip utama keterjaminan makanan negara, iaitu memastikan bekalan mencukupi, harga stabil dan semua pihak dalam rantaian padi dan beras daripada pesawah hingga pengguna terus dilindungi," katanya.
Mohamad turut memberi jaminan kementeriannya akan melaksanakan intervensi bersesuaian berdasarkan Akta 522 sekiranya berlaku gangguan atau ketidakstabilan pada keseluruhan rantaian penghasilan serta bekalan padi dan beras negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial