KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) akan membubarkan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) yang berstatus dorman selepas syarikat terbabit menyelesaikan isu berkaitan obligasi kewangan, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026, sebanyak 36 syarikat berstatus dorman yang mencatatkan liabiliti bersih berjumlah RM1.248 bilion memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan, agensi atau syarikat induk bagi menyelesaikan obligasi kewangan masing-masing.
Beliau berkata walaupun syarikat MKD menjadi dorman iaitu tidak aktif atau tiada aktiviti komersial dan tiada pengurusan, sebahagian syarikat terbabit tidak dapat dibubarkan disebabkan terdapat obligasi kewangan seperti hutang yang perlu dilunaskan.
“Selain itu, terdapat juga syarikat yang dalam proses likuidasi atau menghadapi tuntutan perundangan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Sekiranya isu-isu tersebut telah diselesaikan, syarikat dorman tersebut akan dibubarkan,” katanya ketika menggulung usul LKAN mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024 di Dewan Rakyat hari Ini.
Secara keseluruhan, sebanyak 116 atau 18.1 peratus daripada 641 syarikat Persekutuan dikenal pasti berstatus dorman.
Mengenai isu dividen diketengahkan LKAN, Liew berkata keputusan untuk tidak mengisytiharkan dividen oleh beberapa subsidiari termasuk entiti di bawah Petronas dibuat berdasarkan pertimbangan lembaga pengarah terhadap keperluan aliran tunai, komitmen pelaburan, penyelenggaraan aset serta pengukuhan modal.
“Walaupun merekodkan keuntungan, keutamaan diberikan kepada kemampanan operasi dan pelaburan semula. Pada masa sama, Petronas melalui syarikat induk, Petroliam Nasional Bhd, telah membayar dividen RM32 bilion kepada kerajaan bagi tahun kewangan 2024, menunjukkan sumbangan kumpulan dinilai secara menyeluruh,” katanya.
Liew berkata bagi Cenviro Sdn Bhd dan Cradle Fund Sdn Bhd (CFSB), keputusan tidak membayar dividen adalah selaras dengan polisi dividen masing-masing serta kedudukan tunai sebenar.
“Cenviro menggunakan keuntungan dan tunai tersedia bagi penebusan “redeemable convertible preference shares” (saham keutamaan boleh tebus boleh ubah) berjumlah RM100 juta dan mengekalkan tunai mencukupi untuk keperluan operasi serta komitmen modal.
“CFSB pula berdepan kekangan aliran tunai operasi, kebergantungan kepada geran dan sebahagian keuntungan bersifat tidak direalisasikan, justeru dividen tidak diisytiharkan bagi 2022 dan 2023 dengan kelulusan lembaga pengarah dan dimaklumkan kepada MOF mengikut Garis Panduan MKD 2024,” katanya.
Beliau berkata bagi IJN International Sdn Bhd pula, keuntungan IJN adalah tidak signifikan berbanding sumbangan anak syarikat utama, Institut Jantung Negara Sdn Bhd, dan dana diperlukan bagi peluasan operasi, namun syarikat mengambil maklum keperluan memohon pengecualian dividen dan akan menambah baik polisi.
Manakala SIRIM Calibration Sdn Bhd dan SIRIM Academy Sdn Bhd pula menangguhkan dividen ketika fasa pemulihan kewangan dan pelaburan semula aset.
“Bagi tahun kewangan 2023, SIRIM Academy telah kembali stabil dan mengisytiharkan dividen dengan kelulusan lembaga pengarah,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan mewajibkan syarikat untung bayar dividen, Liew berkata pembayaran dividen merupakan keputusan lembaga pengarah berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap keperluan tunai, komitmen pelaburan dan risiko pasaran.
Beliau berkata keuntungan perakaunan dan nisbah kewangan yang baik menunjukkan kestabilan semasa syarikat, tetapi keputusan agihan turut mengambil kira komitmen jangka sederhana dan jangka panjang syarikat.
“Pendekatan sedia ada seperti di dalam Buku Garis Panduan Tadbir Urus dan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat MKD (2024) memberi fleksibiliti kepada lembaga pengarah untuk membuat pertimbangan komersial yang bersesuaian dan tidak menjejaskan kedudukan kewangan syarikat bagi memastikan syarikat kekal mampan dan berdaya saing, selaras dengan prinsip tadbir urus korporat dan kerangka undang-undang syarikat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial