WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Laporan Kesan Konflik AS-Iran Terhadap Sekuriti Makanan Diketahui Minggu Depan

06/03/2026 10:42 PM

KOTA BHARU, 6 Mac (Bernama) -- Laporan kajian berhubung kesan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran terhadap sekuriti makanan Malaysia akan diketahui minggu depan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata pegawai bahagian sekuriti makanan dan bahagian antarabangsa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah diarah meneliti sama ada ketegangan itu akan memberi impak kepada harga minyak serta bahan eksport makanan negara.

"Kebanyakan import bahan makanan kita adalah dari negara ASEAN, India, Pakistan, Australia, New Zealand, Brazil dan China yang merupakan rakan dagangan utama pertanian negara," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Cahaya Aidilfitri Usahawan KPKM dan Majlis Iftar Kasih di Pusat Transformasi Luar Bandar, Tunjong di sini hari ini.

Mohamad juga berkata beliau yakin sekiranya terdapat kesan akibat konflik itu, ia mungkin tidak ketara memandangkan perdagangan dengan negara di Timur Tengah lebih tertumpu kepada sektor minyak.

"Sama ada kenaikan harga minyak akan memberi kesan berangkai kepada harga makanan, kita tunggu laporan penuh daripada pegawai pada minggu depan," katanya.

Semalam, beliau berkata konflik AS dan Iran di Timur Tengah ketika ini belum menjejaskan keterjaminan bekalan makanan negara setakat ini kerana kebanyakan sumber import makanan Malaysia tidak melibatkan kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan