WILAYAH - TIMUR > BERITA

Ops Selamat: Polis Kenal Pasti 36 Lokasi Kerap Kemalangan Di Pahang

18/03/2026 02:37 PM

KUANTAN, 18 Mac (Bernama) --  Polis mengenal pasti 36 lokasi kerap berlaku kemalangan dan 25 lokasi laluan sesak di negeri ini untuk ditumpukan dalam penugasan Ops Selamat bermula hari ini hingga 24 Mac. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata operasi sempena sambutan Aidilfitri itu dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan kadar kemalangan dan kemalangan maut di negeri ini.

“Lebih 200 pegawai dan anggota trafik ditugaskan sepanjang Ops Selamat di negeri ini kali ini. Selain itu, penugasan seperti rondaan dan kawalan keselamatan turut dipertingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pahang di sini hari ini. 

Pada majlis itu, Supt Tan Yong Wee dilantik sebagai  Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pahang yang baharu menggantikan Supt Azmi Awang Lah berkuat kuasa hari ini. 

Yahaya berkata operasi berkenaan turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata pihaknya menjangkakan lebih satu juta kenderaan akan menggunakan rangkaian jalan raya di Pahang termasuk lebuh raya, jalan Persekutuan dan jalan negeri sepanjang tempoh tersebut.

Yahaya turut mengingatkan orang ramai yang meninggalkan kediaman masing-masing supaya memaklumkan kepada pihak polis melalui balai berhampiran atau menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

“Maklumat yang diberikan membolehkan pihak polis meningkatkan rondaan di kawasan perumahan bagi memastikan keselamatan kediaman daripada sebarang aktiviti jenayah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan