TEHRAN, 18 Mac (Bernama-Anadolu) -- Upacara pengebumian pegawai tinggi keselamatan Ali Larijani dan Ketua Pasukan Basij Gholamreza Soleimani, yang terkorban dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS)-Israel, diadakan pada Rabu di ibu negara Iran, Tehran, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media Kerajaan Iran.
Menurut Press TV, upacara itu dihadiri oleh pegawai-pegawai kerajaan dan orang ramai yang berhimpun untuk memberi penghormatan kepada kedua-dua tokoh berkenaan.
Pihak berkuasa Iran menyatakan Larijani terbunuh pada awal Selasa dalam serangan yang turut meragut nyawa anak lelakinya Morteza, pembantunya Alireza Bayat, beberapa kakitangan majlis, serta pengawal peribadi.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran mengesahkan kematian Soleimani dalam serangan AS-Israel pada hari yang sama.
Larijani dan Soleimani merupakan antara pegawai tertinggi yang terkorban sejak meletusnya perang AS-Israel ke atas Iran pada penghujung bulan lepas.
AS dan Israel meneruskan serangan bersama ke atas Iran sejak 28 Feb, yang setakat ini telah mengorbankan kira-kira 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.
Iran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq, serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS, sehingga menyebabkan kecederaan dan kerosakan infrastruktur selain mengganggu pasaran global serta sektor penerbangan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial