WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sebanyak 9,833 Kes Kemalangan Direkodkan Di Pahang Sepanjang 2025 - Polis

18/03/2026 09:30 PM

KUANTAN, 18 Mac (Bernama) -- Sebanyak 9,833 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Pahang sepanjang 2025, dengan 108 kes adalah kemalangan maut yang meragut 115 nyawa.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini pula, sebanyak 802 kes kemalangan dicatatkan termasuk empat kemalangan maut yang mengorbankan empat nyawa.

“Kemalangan didapati lebih tinggi di jalan Persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran, terutama di lokasi dikenal pasti sebagai lokasi panas atau ‘hotspot’. Antara kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di Kuantan ialah laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang merekodkan jumlah insiden tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Advokasi Ops Selamat sempena Aidilfitri di Plaza Tol Kuantan di sini hari ini.

Ashari berkata penunggang motosikal turut dikenal pasti sebagai kumpulan berisiko tinggi terlibat dalam kemalangan berikutan faktor kestabilan serta pendedahan yang lebih tinggi kepada bahaya di jalan raya.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan pengurangan kes kemalangan maut menjelang perayaan Aidilfitri menerusi peningkatan pemantauan di laluan berisiko tinggi di bandar berkenaan, menerusi Ops Selamat bermula esok hingga 24 Mac ini.

Beliau berkata langkah itu diambil susulan peningkatan aliran trafik secara berperingkat, khususnya membabitkan laluan ke negeri Pantai Timur, iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Pada program itu, sebuah syarikat bahan api turut menyumbang cenderahati kepada pengguna jalan raya yang pulang ke kampung sebagai sebahagian daripada usaha menyokong perjalanan selamat sepanjang musim perayaan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan