KOTA KINABALU, 18 Mac (Bernama) -- Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman pada 30 Mac ini bakal disemarakkan dengan sembilan acara yang mencerminkan semangat perpaduan dan kecintaan rakyat terhadap negeri.
Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kesemua acara utama telah dirancang rapi sejak Februari lepas oleh Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Pelaksana bagi memastikan kelancaran program tahunan negeri
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk berkata sambutan akan bermula pada 27 Mac dengan majlis kesyukuran dan doa selamat serta solat hajat di Masjid Negeri Kota Kinabalu.
Beliau berkata kemuncak sambutan pada 30 Mac, melibatkan tiga acara utama iaitu Istiadat Perbarisan dan Kawal Kehormatan di Padang Merdeka, diikuti Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Kebesaran Negeri di Istana Seri Kinabalu, dan Majlis Jamuan Negeri pada sebelah malam.
“Istiadat perbarisan akan disertai oleh hampir 70 kontinjen terdiri daripada badan beruniform, dan kami berharap rakyat dari seluruh pelosok Sabah dapat sama-sama meraikan hari kelahiran rasmi ini, khususnya pada majlis di Padang Merdeka,” katanya pada sidang media sambutan ulang tahun Yang Dipertua Negeri Sabah di sini hari ini.
Nizam berkata selain acara rasmi, pelbagai program sampingan turut dianjurkan antaranya Program Riadah Perpaduan bersama Yang Dipertua Negeri Sabah di Taman Rekreasi Kompleks Sukan Likas pada 11 April, pameran seni lukis serta Pameran Dirgahayu Yang Dipertua Negeri Sabah di Muzium Tamadun Islam Sabah bermula 16 April.
Beliau berkata program riadah perpaduan itu bertujuan merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat selain memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
“Oleh itu kita berharap semua lapisan masyarakat dapat bersama-sama menyertai ridaah perpaduan ini bersama-sama dengan Yang Dipertua Negeri Sabah dan pemimpin negeri sebagai manifestasi dan simbol kebersamaan kita,” katanya.
Selain itu, beliau berkata sambutan kali ini turut menampilkan Program Hari Etnik Sabah yang menghimpunkan lebih 100 persatuan etnik bagi mempamerkan keunikan budaya serta adat resam masing-masing di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 25 April.
Majlis jamuan teh bersama kanak-kanak sempena Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Sabah pula akan diadakan di Tawau pada 30 April.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial