SIBU, 22 Mac (Bernama) -- Remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakan di kawasan air terjun Sungai Plan Lot, Jalan Permata, Kidurong, Bintulu petang semalam, ditemukan lemas lewat malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mayat Darren Dakun Paruscrum, 12, ditemukan orang awam pada 11.19 malam, kira-kira lima meter dari tebing sungai.
“Selepas menerima panggilan pada 11.20 malam daripada orang awam mengenai penemuan itu, bomba bergegas ke lokasi kejadian. Mayat dibawa naik ke tebing oleh penduduk dengan bantuan pasukan bomba sebelum diserahkan pada polis untuk tindakan lanjut,” menurut JBPM Sarawak dalam satu kenyataan.
Menurut JBPM Sarawak, susulan penemuan itu serta hasil perbincangan dengan agensi terlibat di lokasi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada 12.33 tengah malam.
Pada 2 petang semalam, empat remaja berusia 12 hingga 14 tahun ke lokasi berkenaan untuk mandi, namun dua daripada mereka dipercayai hilang selepas kali terakhir dilihat pada 2.30 petang dan disyaki lemas.
Mangsa pertama, Tristan Mariss Marissa Erna, 12, ditemukan lemas oleh pasukan SAR pada 5.20 petang, kira-kira lima meter dari tebing pada kedalaman sembilan meter, sebelum diserahkan pada polis untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial