ISTANBUL, 22 Mac (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Sabtu mengancam untuk “memusnahkan” loji tenaga Iran, bermula dengan yang terbesar, sekiranya Tehran tidak membuka Selat Hormuz dalam tempoh 48 jam.
“Jika Iran tidak membuka sepenuhnya, tanpa ancaman, Selat Hormuz dalam tempoh 48 jam dari sekarang, AS akan menyerang dan memusnahkan pelbagai loji tenaga mereka, bermula dengan yang terbesar,” tulis Trump di platform media sosialnya, Truth Social, menurut Anadolu Ajansi.
Beliau membuat kenyataan itu pada 7.44 malam waktu Timur AS, yang bermakna tarikh akhir yang diberikan adalah sehingga lewat Isnin.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan loji mana yang dimaksudkan sebagai yang terbesar.
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata pada Jumaat bahawa Iran tidak akan bertolak ansur jika infrastrukturnya diserang.
Trump sebelum ini memberitahu PBS bahawa beliau sengaja tidak menyasarkan loji tenaga di Tehran kerana tindakan itu boleh menyebabkan kerosakan berpanjangan dan “trauma” kepada penduduk awam. Ugutan terbaharu itu dilihat sebagai peningkatan ketara dalam retoriknya.
Sebagai tindak balas kepada ultimatum Trump, Iran pada Ahad mengugut untuk menyerang semua infrastruktur AS dan Israel di rantau itu sekiranya fasiliti Iran menjadi sasaran, menurut Anadolu.
“Jika infrastruktur bahan api dan tenaga Iran diserang oleh musuh, semua infrastruktur tenaga, teknologi maklumat dan penyahgaraman milik AS dan rejim (Israel) di rantau ini akan menjadi sasaran,” kata jurucakap Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya, badan yang menyelia operasi ketenteraan Iran, dalam kenyataan yang dilaporkan Fars News Agency.
Selat Hormuz dilaporkan mengalami gangguan sejak awal Mac, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak. Kira-kira 20 juta tong minyak melalui laluan itu setiap hari, menjadikannya antara laluan tenaga paling kritikal di dunia.
Serangan AS-Israel ke atas Iran bermula pada 28 Feb dan telah berkembang menjadi konflik serantau yang lebih luas.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial