WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kontraktor Rugi Lebih RM300,000 Diperdaya Skim Pelaburan Tidak Wujud

22/03/2026 12:31 PM

TEMERLOH, 22 Mac (Bernama) -- Seorang kontraktor kerugian RM356,342 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui laman sesawang sejak bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa seorang lelaki berumur 34 tahun  telah melihat satu iklan pelaburan di Google pada 18 Feb lepas, melalui laman web dikenali sebagai “marinasand”.

“Mangsa kemudiannya mendaftar dan menyertai pelaburan tersebut yang menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus daripada jumlah pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa telah melakukan 16 transaksi pindahan wang menggunakan simpanan peribadi serta wang syarikat miliknya ke dalam lima akaun bank berbeza bermula 18 Feb hingga 19 Mac 2026.

“Mangsa hanya menerima pulangan awal sekitar RM1,000 sebelum tidak menerima sebarang keuntungan seterusnya seperti dijanjikan. Mangsa turut mendapati tidak lagi dapat mengakses laman sesawang pelaburan tersebut sebelum menyedari dirinya telah ditipu,” katanya.

Sehubungan itu, Yahaya menasihati orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

Beliau turut menyarankan orang ramai membuat semakan nombor akaun melalui laman sesawang Semak Mule Polis Diraja Malaysia sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan serta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 bagi tindakan segera sekiranya disyaki menjadi mangsa penipuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan