WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Cuaca Panas Bantu Hasil Mangga Harum Manis Lebih Berkualiti

30/03/2026 11:03 AM

ALOR SETAR, 30 Mac (Bernama) -- Fenomena cuaca panas yang melanda Kedah ketika ini membawa rahmat kepada pengusaha mangga harum manis kerana membantu menghasilkan buah yang lebih manis dan berkualiti tinggi musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah Dzowahir Ab Ghani berkata negeri itu antara kawasan paling sesuai untuk penanaman harum manis, dengan kemanisan buah keluaran Kedah Harumanis D’Aman sudah diiktiraf ramai.

“Sebab itu permintaannya tinggi sehingga tidak mencukupi. Sekarang hanya ada 150,000 pokok harum manis sahaja dan kita menyasarkan untuk menanam 100,000 pokok setahun.

“Kalau perancangan ini berjaya dalam tempoh lima tahun, kita mampu menanam 500,000 pokok dan apabila hasil meningkat, kita boleh memenuhi permintaan dari dalam dan luar negara,” katanya kepada pemberita pada sidang media Fiesta Mempelam Harumanis D’Aman Kedah 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata festival itu diadakan dari 30 April hingga 3 Mei di Tok Keling, Alor Setar dan pengunjung boleh belajar serta mendapatkan maklumat berkaitan tanaman harum manis daripada pengusaha serta Jabatan Pertanian.

Dalam perkembangan lain, Dzowahir berkata suhu yang boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius itu memberi kesan kepada tanaman padi dengan banyak aduan diterima daripada pesawah, dan kerajaan negeri sedang mengkaji kawasan yang sesuai untuk membina telaga tiub.

“Kita mahu memastikan pesawah mendapat bekalan air untuk tanaman padi mereka. Banyak kawasan sudah merekah kerana tiada air, namun perkara ini di luar kawalan kita. Sebab itu kerajaan negeri mengambil langkah awal mengorek telaga tiub.

“Ini antara usaha jangka pendek yang dilaksanakan, namun kita meminta Kerajaan Pusat mengkaji secara menyeluruh bagaimana untuk menghadapi cuaca panas berterusan pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, pengusaha Harumanis D’Aman Datuk Mohd Yusof Ismail menyambut baik usaha kerajaan negeri meningkatkan tanaman itu di Kedah kerana bekalan buah berkenaan pada masa ini tidak mencukupi untuk dipasarkan ke luar negara.

“Sekarang di Kedah hanya ada 150,000 pokok dan tidak mampu menampung pasaran sehingga harga boleh mencecah RM50 sekilogram ke atas kerana permintaan tinggi. Tahun ini, syukur buah menjadi kerana pada peringkat awal berbunga, suhu antara 35 hingga 36 darjah Celsius,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan