IPOH, 2 April (Bernama) -- Pelaksanaan Projek Hydro Life Extension Programme (HLEP) bernilai RM5.8 bilion yang disokong pembangunan Fasiliti Penempatan Berpusat selaku komponen strategik di koridor hidroelektrik Sungai Perak terus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai pemacu masa depan ekonomi hijau negara.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata dengan kapasiti penjanaan mencecah 650.75 megawatt, projek itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi stesen janakuasa hidroelektrik, malah mampu menarik pelaburan bernilai tinggi termasuk dalam sektor teknologi hijau dan pusat data.
“Pelaburan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi projek HLEP bakal menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi di Hulu Perak dan impak pembangunan ini dijangka merancakkan bandar berhampiran seperti Gerik dan daerah Hulu Perak.
“Kerajaan negeri juga komited memastikan setiap fasa projek ini diterjemahkan kepada manfaat menyeluruh kepada rakyat. Justeru, pemerkasaan kontraktor tempatan dan pembangunan vendor akan menjadi strategi untuk memperkukuh ekosistem industri negeri secara mampan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada Majlis Pecah Tanah Penempatan Kuarters Pekerja bagi Projek HLEP di Bandariang, Gerik di sini hari ini.
Mohammad Nizar turut menyempurnakan majlis pecah tanah pembangunan penempatan itu, yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed serta Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Dalam pada itu, Saarani berkata pembangunan HLEP juga secara tidak langsung membuka peluang, khususnya kepada anak tempatan untuk terlibat dalam kerja-kerja teknikal serta sokongan operasi yang berkaitan.
“Sehubungan dengan itu, kerjasama antara pihak industri dan institut latihan amat penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan dapat memenuhi keperluan kemahiran yang diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Redza Rafiq berkata HLEP bukan sekadar projek infrastruktur tenaga tetapi instrumen strategik yang membentuk landskap baharu ekonomi negeri, mengintegrasikan pembangunan tenaga bersih, memperkasa pembangunan modal insan serta memperkukuh ekosistem industri dalam satu kerangka holistik.
“Pengukuhan koridor hidroelektrik Temengor-Bersia-Kenering akan terus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan tenaga negeri, membuka ruang kepada pertumbuhan industri baharu dan meletakkan Perak di barisan hadapan dalam agenda peralihan Tenaga Boleh Baharu (TBB) negara,” katanya.
Redza Rafiq ketika mengulas mengenai pembangunan fasiliti penempatan berpusat berkata ia mampu menempatkan 200 pekerja dan adalah komponen kritikal dalam memastikan kecekapan operasi projek berskala besar seperti HLEP.
“Dalam projek sebesar ini, kekuatan sebenar terletak bukan sahaja pada teknologi tetapi kepada manusia yang menggerakkannya. Fasiliti penempatan ini menyediakan persekitaran yang kondusif, selamat dan terancang bagi memastikan tenaga kerja dapat beroperasi pada tahap optimum,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial