JOHOR BAHRU, 3 April (Bernama) -- Lapan lelaki warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran ditahan menerusi Ops Pintas Bersepadu dan Ops Taring Landai di perairan Kukup, di Pontian pada Rabu lepas dan semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian Supt Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata tangkapan individu berusia 21 hingga 36 tahun itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Kukup.
Beliau berkata dalam operasi pada Rabu kira-kira 8 malam, lima individu ditahan iaitu seorang penjaga rumah penampungan, seorang tekong laut dan tiga migran yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan serta keluar masuk negara melalui laluan tidak sah.
“Tangkapan susulan pada semalam kira-kira 6 petang pula membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki warga Indonesia yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat, tekong laut dan pembantu penjaga rumah penampungan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata operasi tersebut merupakan hasil risikan dan pemantauan selama dua minggu yang tertumpu di kawasan berpotensi menjalankan kegiatan berkenaan termasuk rumah sangkar ikan di perairan Kukup.
Dalam operasi itu, beliau berkata pihaknya turut merampas dua bot berukuran 29 kaki dengan enjin 15 kuasa kuda jenis Yamaha serta tiga telefon bimbit pelbagai jenama bersama kad SIM dengan nilai rampasan sekitar RM50,000.
Beliau berkata ujian saringan air kencing pula mendapati lima yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine.
Hadzrat Hussien berkata mereka yang berperanan sebagai tekong darat, tekong laut dan penjaga rumah penampungan ditahan mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), manakala tiga migran ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial