ALOR SETAR, 12 April (Bernama) -- Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) menolak kemasukan 28 warganegara asing di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dalam tempoh 1 hingga 11 April lepas.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam SAC Fauzi Mohd Yusof berkata daripada jumlah itu 14 individu adalah warganegara India terdiri daripada 13 lelaki dan seorang wanita.
Beliau berkata kesemua individu berusia 20 hingga 40-an itu ditolak memasuki negara ini selepas gagal memenuhi syarat sebagai pelancong, termasuk tidak memiliki tiket pulang serta tidak dapat memberikan tujuan perjalanan yang jelas kepada pegawai Imigresen.
“Selain itu, terdapat juga dalam kalangan mereka yang tersenarai dalam senarai syak jabatan dan tidak dibenarkan memasuki Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata lima warganegara Thailand turut ditolak kemasukan selepas didapati menggunakan pasport yang rosak dan tidak memenuhi syarat kemasukan negara.
Selain itu, Fauzi berkata dua lelaki warganegara Bangladesh ditolak kemasukan kerana tidak dibenarkan menggunakan pintu masuk darat selaras dengan arahan semasa jabatan.
Beliau berkata selebihnya melibatkan warganegara Myanmar, Sri Lanka, Taiwan serta Indonesia yang ditolak kemasukan atas pelbagai ketidakpatuhan terhadap syarat kemasukan dan kesemua mereka telah diarahkan kembali ke negara terakhir mereka berlepas.
Fauzi berkata lagi pihaknya akan terus memperketat kawalan di pintu masuk negara bagi memastikan hanya pelawat yang memenuhi syarat dibenarkan masuk.
“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang cuba menyalahgunakan kemudahan Imigresen negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial