KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Kuching City FC mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas PDRM FC dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Negeri Sarawak, malam ini.
Menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri, tuan rumah bermula agresif dengan gol seawal minit pertama menerusi Wanja Roland Ngah, sebelum PDRM menyamakan kedudukan pada minit ke-42 hasil jaringan Muhammad Amirul Waie Yaakob untuk menutup babak pertama 1-1.
The Cats kembali mendominasi sejurus babak kedua bermula apabila Muhammad Ramadan Saifullah meledak dua gol pada minit ke-47 dan ke-61, diikuti jaringan Jerome Mpacko Etame pada minit ke-67 bagi mengesahkan kemenangan selesa.
Kemenangan itu melonjakkan Kuching City ke tangga kedua liga dengan 43 mata, berkongsi mata dengan Selangor FC di tempat ketiga, namun dipisahkan oleh perbezaan jaringan.
Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan FC (NSFC) terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang DPMM FC.
Skuad Jang membuka tirai jaringan menerusi penyudah kemas pemain import dari Jepun, Takumi Sasaki pada minit ke-30 hasil hantaran tepat A. Selvan.
Memasuki babak kedua, pasukan pelawat bangkit menyamakan kedudukan apabila Okechukwu Christian Irobiso meledak gol menerusi tandukan pada minit ke-49 hasil hantaran Miguel Angelo Agostinho Oliveira.
Kelekaan tuan rumah dihukum apabila pemain DPMM, Jordan Murray melakukan hantaran tepat kepada Muhammad Hakeme Yazid Said yang tenang menyempurnakan peluang untuk menjaringkan gol kedua pada minit ke-60.
NSFC bagaimanapun mempamerkan kebangkitan apabila Joseph Esso menyamakan kedudukan pada minit ke-73 menerusi tandukan hasil hantaran pemain pertahanan Kei Oshiro.
Keputusan seri itu menyaksikan NSFC kekal di kedudukan keenam liga dengan 23 mata, manakala DPMM di tangga kelapan dengan 22 mata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial