KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Pasaran bon Malaysia terus menunjukkan daya tahan dalam persekitaran ketidaktentuan global, disokong oleh pengukuhan ringgit dan aliran masuk asing yang mampan, menurut CIMB Treasury and Markets Research.
Firma penyelidikan itu melalui satu nota berkata keluk bon berdaulat MYR “meningkat dari minggu ke minggu”, dengan pertukaran asing (FX) memberikan sokongan kepada aliran selepas USDMYR bergerak di bawah paras 4.00 dan kekal dalam jajaran 3.96–3.99 walaupun wujud ketidaktentuan yang berpanjangan dalam gencatan senjata Amerika Syrarikat (AS) - Iran.
CIMB berkata perhatian akan beralih kepada lelongan 10/29 Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) 3Y yang baharu menjelang 14 April ini.
Permintaan perbankan menyokong teras dan jangka panjang, manakala keluk yang lebih lama menjadi lebih rendah apabila pelabur mula tertarik dengan premium berisiko lebih tinggi dengan jangkaan penerbitan bon kerajaan bertempoh panjang pada suku kedua 2026.
“Aktiviti agak lengang pada awal minggu, mencerminkan cuti Easter Isnin dan kedudukan berhati-hati menjelang pembukaan semula MGS 07/55 30Y pada Selasa dan perkembangan geopolitik.
“Hasil 30 tahun menokok sebanyak 5.5 mata asas pada Isnin, sejajar dengan hasil yang lebih tinggi selepas terbitan, menunjukkan konsesi untuk menarik bekalan bon jangka panjang,” katanya.
CIMB berkata lelongan itu akhirnya merekodkan nisbah bidaan kepada terbitan yang baik sebanyak 2.03 kali, disokong oleh permintaan lewat dan dijelaskan pada kadar hasil purata 4.197 peratus (jajaran : 4.18–4.209 peratus).
Berikutan lelongan itu, faedah belian membawa hasil untuk menjejaki semula kepada paras 4.17 peratus, kenaikan satu mata asas pada hari berkenaan.
Sementara itu, pegangan bukan pemastautin (NR) bagi bil dan bon kedaulatan MYR menokok sebanyak RM3.3 bilion dari bulan ke bulan pada Mac dan RM4.2 bilion dari suku ke suku pada suku pertama 2026, dengan putaran ketara daripada GII kepada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).
“Hasilnya, pegangan saham NR melonjak kepada paras tertinggi tiga bulan sebanyak 21.5 peratus.
“Peningkatan kukuh pada bulan Mac berbanding aliran keluar NR di Indonesia dan Thailand telah disokong oleh daya tahan asas makroekonomi relatif negara, memandangkan Malaysia adalah pengeksport minyak dan gas bersih,” katanya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial