WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Transformasi Pembangunan Seiring Teknologi Pacu Malaysia Ke Arah Negara AI - Pakar

12/04/2026 09:19 PM

Oleh Puti Iylia Maisarah Zol Azman dan Siti Nur Athirah Abdullah

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Dasar pembangunan yang diamalkan di Malaysia sejak hampir 70 tahun lepas memerlukan transformasi seiring tuntutan teknologi semasa bagi mencapai hasrat menjadi sebuah Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030. 

Pensyarah Jabatan Seni Bina Landskap, Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Sallehuddin Mat Noor berkata model pembangunan inovatif co-creation atau penciptaan bersama dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) perlu menjadi keutamaan bagi melaksanakan Bandar AI, sekali gus beralih daripada pendekatan konvensional kepada model yang lebih dinamik.

“Model co-creation ini memerlukan perubahan dasar kerajaan-swasta dan awam yang mempraktikkan nilai masyarakat yang lebih holistik, dengan penggunaan AI perlu berteraskan data sebenar serta mematuhi nilai dan etika masyarakat.

“Selain itu, bentuk guna tanah pada masa hadapan juga perlu fleksibel bagi mendepani keperluan teknologi AI serta cabaran perubahan iklim yang sukar diramal,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Mohd Sallehuddin yang juga ahli Persatuan Arkitek Landskap Awam Malaysia menyarankan agar sektor terlibat tidak lagi terikat dengan mentaliti “business as usual” sebaliknya beralih kepada visi yang lebih menyeluruh terutama dalam mengenal pasti 22 seksyen industri di negara yang dijangka terkesan secara langsung oleh arus automasi dan teknologi AI.

Sementara itu, Pengarah Institut Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar (RISE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein berkata walaupun kesiapsiagaan infrastruktur AI negara dilihat kukuh, masih wujud jurang ketara yang boleh menjejaskan ekosistem AI nasional sekiranya tidak ditangani segera.

“Antara kelemahan utama ialah aspek kesediaan data dan bakat. Jika tidak diatasi, ia boleh menjejaskan sasaran Malaysia untuk menjadi negara berteraskan AI menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata Malaysia kini berada pada landasan untuk menjadi hab pusat data ASEAN dengan unjuran menampung hingga dua per tiga kapasiti rantau ini menjelang 2035, namun perkembangan pesat itu telah memberi tekanan kepada sistem utiliti negara, khususnya bekalan elektrik dan air.

Menurut beliau, cabaran utama ketika ini ialah kekurangan bakat AI dengan Bank Dunia menganggarkan hanya sekitar 3,000 profesional AI di Malaysia berbanding keperluan kira-kira 30,000 menjelang 2030, selain laporan Amazon Web Services menunjukkan 81 peratus majikan di Malaysia menghadapi kesukaran mendapatkan pekerja dengan kemahiran itu.

Muhammad Zaly berkata walaupun pelbagai inisiatif seperti AIForMYFuture oleh Microsoft dan Program Sandbox AI telah dilaksanakan, usaha itu perlu dipercepat melalui Pelan Hala Tuju Bakat AI hingga 2030.

Menyifatkan Malaysia berada di landasan yang tepat melalui keupayaan mengadaptasi teknologi semasa, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata perkara itu sekali gus mencerminkan kesiapsiagaan negara dalam mendepani transformasi digital global.

Beliau berkata kemampuan negara beradaptasi dengan teknologi tinggi seperti AI, superkomputer dan pengkomputeran kuantum serta menyesuaikan dengan perubahan pantas teknologi dunia, dapat membantu dalam usaha merealisasikan sebuah Bandar AI. 

“Usaha ini memerlukan keseimbangan tiga komponen utama iaitu dasar dan polisi kerajaan, kesediaan pemain industri serta tahap penerimaan pengguna dalam mewujudkan bandar pintar.

“Selain itu, pembangunan infrastruktur AI menerusi pelaburan syarikat teknologi global dan tempatan dapat memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam landskap teknologi serantau,” katanya. 

Siraj yang juga Ahli Majlis Penasihat Pengguna Negara berkata cabaran utama ke arah itu ketika ini tertumpu pada krisis tenaga global yang menggugat kestabilan bekalan serta infrastruktur telekomunikasi berikutan bandar pintar amat bergantung kepada tenaga mampan dan capaian Internet yang stabil.

Beliau berkata kadar penggunaan Internet isi rumah yang hampir mencecah 100 peratus di Malaysia turut menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekosistem digital dalam bandar pintar.

“Justeru, hasrat membangunkan Bandar AI bukan hanya melibatkan pihak tertentu atau satu kementerian sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk sektor pembinaan, komunikasi dan pemaju hartanah,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia kini berada pada titik penting untuk beralih daripada pembangunan Bandar Pintar kepada pembangunan Bandar AI sebagai asas kepada aspirasi Malaysia menjadi sebuah Negara AI.

Anwar berkata peralihan itu bukan sekadar penerapan teknologi baharu sebaliknya menuntut transformasi menyeluruh dalam cara merancang, mentadbir dan mengurus bandar agar lebih cekap, berdaya tahan serta berpaksikan data.

--  BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan