WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Soh Thian Lai Dilantik Sebagai Pengerusi EABC Malaysia — FMM

14/04/2026 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) hari ini mengumumkan bahawa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah melantik Tan Sri Dr Soh Thian Lai sebagai Pengerusi Majlis Perniagaan Asia Timur (EABC) Malaysia.

Presiden FMM Jacob Lee Chor Kok berkata pelantikan itu mengukuhkan perwakilan Malaysia dalam penglibatan serantau merentasi ekonomi ASEAN+3 selain memposisikan negara dalam membentuk keutamaan ekonomi serantau dan memajukan integrasi dipacu perniagaan di bawah rangka kerja utama termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Banyak perniagaan sedang menghadapi ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan tekanan kos yang semakin bertambah.

“Input industri yang kukuh dan diselaraskan melalui platform seperti EABC kekal penting untuk menyokong kerajaan dalam menyampaikan respons dasar yang tepat pada masanya dan berkesan,” katanya melalui satu kenyataan hari ini. 

EABC telah ditubuhkan pada 2003 berikutan cadangan oleh Kumpulan Kajian Asia Timur dan diterima oleh pemimpin ASEAN+3, ia berfungsi sebagai platform rasmi yang mewakili pandangan industri dalam memajukan kerjasama ekonomi serantau merentasi 13 ekonomi yang terdiri daripada ASEAN, China, Jepun, dan Korea Selatan.

Setiap ekonomi mencalonkan tiga wakil, memberikan input seimbang di seluruh rantau.

Soh menggantikan Tan Sri Azman Hashim, Pengerusi Emeritus dan Penasihat Kehormat AmBank Group, yang telah berkhidmat sebagai pengerusi pengasas EABC dan pengerusi EABC Malaysia sejak 2003.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan