ISTANBUL, 15 April (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu berkata tiada perjanjian damai akan dicapai jika Iran terus berusaha memiliki senjata nuklear, namun menambah bahawa perang itu “boleh ditamatkan tidak lama lagi”, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Mereka tidak boleh memiliki senjata nuklear,” kata Trump kepada Fox Business dalam satu wawancara. “Jika mereka tidak berhenti, kita tidak akan membuat perjanjian.”
“Keseluruhan perkara ini sebenarnya berkaitan dengan tiada nuklear, mereka tidak boleh memiliki senjata nuklear,” kata Trump sambil menambah bahawa Iran telah “menerima serangan hebat.”
“Kita boleh memusnahkan setiap jambatan mereka dalam masa satu jam. Kita boleh memusnahkan setiap loji jana kuasa mereka, loji tenaga elektrik, dalam masa satu jam. Kita tidak mahu berbuat demikian,” katanya sambil menambah: “Kita lihat apa yang akan berlaku.”
Mengulangi dakwaannya bahawa Iran menimbulkan ancaman, beliau berkata Tehran “sedang bergerak untuk menguasai Asia Barat, dan kita menghentikan mereka,” sambil menambah bahawa negara itu akan memiliki senjata nuklear dan “akan menggunakannya.”
Beliau menambah, “Saya fikir mereka sangat mahu membuat perjanjian.”
Perbincangan telah diadakan di ibu negara Pakistan, Islamabad, pada hujung minggu lalu bagi menamatkan secara kekal perang AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Feb, namun tiada persetujuan dicapai.
Usaha untuk mengadakan satu lagi pusingan rundingan sedang diteruskan. Pakistan pada 8 April menjadi pengantara gencatan senjata selama dua minggu, yang masih berkuat kuasa.
Sementara itu, presiden AS itu berkata bahawa dalam perang terhadap Iran, negaranya menerima “sifar” bantuan daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
“Apa maknanya jika mereka tiada bersama kita di sini, mereka juga tidak akan bersama kita. Jadi mengapa kita? Mengapa kita membelanjakan ratusan bilion dolar setahun untuk NATO jika mereka tidak bersama kita?” katanya.
Trump turut berkata beliau mempunyai hubungan “sangat baik” dengan Presiden China Xi Jinping, sambil menambah bahawa Xi memaklumkan Beijing tidak membekalkan senjata kepada Iran, sekali gus menafikan laporan media.
“Saya menulis surat kepadanya meminta beliau supaya tidak berbuat demikian,” kata Trump, sambil menambah bahawa Xi menjawab “bahawa pada asasnya beliau tidak berbuat demikian.”
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial