WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JPJ WPKL Sita 26 Motosikal Terlibat Lumba Haram Di DUKE

14/04/2026 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyita sebanyak 26 motosikal dalam satu operasi penguatkuasaan khas bagi mengekang aktiviti lumba haram di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pada Ahad lepas.

Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak 283 saman dikeluarkan manakala 80 individu diperiksa dalam operasi selama dua jam yang dijalankan Unit Falcon bermula 3 pagi itu.

Beliau berkata antara kesalahan serius yang dikesan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk tiada cermin sisi, nombor pendaftaran fancy atau milik kenderaan lain, ubah suai ekzos yang menghasilkan bunyi bising melampau, tiada brek belakang serta ketiadaan nombor casis enjin.

Hamidi berkata operasi bersepadu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak konsesi lebuh raya itu dilaksanakan susulan aduan awam mengenai aktiviti samseng jalanan yang menjadikan laluan itu sebagai litar perlumbaan.

“Hasil pemantauan mendapati kawasan sekitar Batu Muda, Greenwood dan Sri Gombak dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan aktiviti lumba haram, khususnya pada hujung minggu.

“Lebih membimbangkan terdapat penglibatan remaja seawal usia 13 hingga 14 tahun dan kebanyakan ibu bapa didapati tidak menyedari penglibatan anak mereka dalam aktiviti berisiko ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan