KUCHING, 15 April (Bernama) -- Dua unit pertama kenderaan Autonomous Rapid Transit (ART) Sarawak berjaya melepasi ujian yang ditetapkan di China dan kini bersedia untuk dihantar ke Kuching, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting bagi projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Sarawak Metro dalam kenyataan hari ini memaklumkan, dua unit awal kenderaan ART yang dikenali sebagai ‘tren emas’ itu dijangka tiba di Kuching pada suku kedua tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Mazli Mustaffa bersama pasukan teknikal baru-baru ini mengadakan lawatan ke Yibin, China, bagi menjalankan pemeriksaan akhir terhadap kenderaan ART di fasiliti pengeluar.
“Lawatan ini bertujuan mengesahkan tahap kesiapsiagaan keseluruhan, kualiti kerja serta pematuhan terhadap spesifikasi projek sebelum penghantaran,” menurut kenyataan itu.
Mazli berkata Sarawak Metro kekal komited memastikan pelaksanaan projek KUTS berjalan dengan selamat, cekap dan mampan.
Beliau berkata pihaknya teruja untuk menyambut ketibaan ‘tren emas’ itu di Kuching dalam masa terdekat, selain menantikan permulaan operasi perintis yang dijadualkan pada penghujung tahun ini.
“Kita berharap pelaksanaan ini akan membawa kita lebih hampir ke arah penyediaan sistem pengangkutan awam moden, cekap dan mesra alam untuk rakyat Sarawak,” katanya.
Setibanya di Sarawak, kenderaan berkenaan akan menjalani kerja pemasangan semula sambungan gerabak di Fasiliti Pemasangan ART Kuching (KAAF).
Selain itu, satu lagi siri ujian akan dijalankan di depot ART di Rembus, Kota Samarahan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan operasi sepenuhnya sebelum operasi perintis bermula pada suku keempat tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial