WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN Perak Sita Lebih 24 Tan Minyak Masak Bernilai RM153,660

24/04/2026 03:24 PM

IPOH, 24 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita lebih 24 tan minyak masak bernilai RM153,660 dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah premis kilang memproses dan membungkus makanan di sini, semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata pemeriksaan yang dijalankan kira-kira 12 tengah hari di bawah Op Tiris 4.0 oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa mendapati premis berkenaan menyimpan minyak masak botol lima kilogram (kg) iaitu barang kawalan.

Beliau berkata satu notis di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat berkaitan pemilikan barang kawalan tersebut.

“Hasil maklum balas mendapati premis ini mempunyai permit sah untuk menyimpan barang kawalan dan memiliki bekalan semasa minyak masak sebanyak 24,060kg.

“Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati jumlah tersebut telah melebihi dari had kuantiti sebanyak 1,000 kg yang dibenarkan dalam permit barang kawalan premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata pihaknya telah mengambil tindakan dengan menyita keseluruhan 24,060kg minyak masak dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM153,660 bersama dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 akta sama, iaitu memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak berlakunya kesalahan.

"Premis tersebut juga turut dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan atau memiliki alat timbang yang tidak ditentusahkan dalam urusan perniagaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan