KEPALA BATAS, 26 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) giat mengadakan libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk persatuan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), penjaja serta koperasi bagi mengenal pasti kesan krisis bekalan global terhadap ekonomi domestik, khususnya sektor berkenaan.
Menterinya Steven Sim berkata langkah itu penting bagi meneliti tekanan dihadapi pemain industri sebelum merangka penyelesaian yang bersesuaian.
“Sesi libat urus ini untuk kita (KUSKOP) dapatkan maklum balas. Kita nak tahu apa yang memberi kesan kepada mereka (pihak berkepentingan) dan kemudian bagaimana kita nak bagi ‘ubat’ (bantu).
“Kita nak tahu dulu ‘sakit’ kat mana, lepas itu kita bubuh ‘ubat’ dengan atur beberapa kaedah serta strategi," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) di Permatang Sintok di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata bagi mengurangkan impak terhadap PMKS, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah bersasar termasuk inisiatif “PowerUp 10K” yang akan menyalurkan sekurang-kurangnya RM15 bilion kepada sektor PMKS dan koperasi tahun ini dengan matlamatnya untuk meningkatkan kecairan serta memastikan sektor itu terus kekal berdaya saing.
Selain itu, beliau berkata RM100 juta diperuntukkan bagi program pembangunan kapasiti yang dijangka memberi manfaat kepada 100,000 usahawan di seluruh negara.
"Kami turut mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi 16 bank tempatan bagi menggesa sokongan kewangan lebih kukuh kepada PMKS dengan meningkatkan produk kewangan khusus untuk PMKS, memudahkan akses pembiayaan serta memberi fleksibiliti kepada perniagaan yang berdepan masalah aliran tunai,” katanya.
Sim berkata pihak bank terlibat bersetuju mempertimbangkan bantuan secara kes demi kes termasuk pembiayaan semula, penjadualan semula, penstrukturan semula atau moratorium jika perlu.
Beliau berkata KUSKOP juga telah berunding dengan institusi seperti Permodalan Nasional Berhad serta pihak berkepentingan lain bagi memperkukuh sokongan kepada sektor berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial