SANDAKAN, 24 April (Bernama) -- Sawit Kinabalu, sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Sabah, hari ini menyerahkan kira-kira 300 kotak bantuan mengandungi barangan keperluan mandian termasuk kain sarung wanita kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia.
Pengerusi Sawit Kinabalu Hazem Mubarak Musa berkata sumbangan itu merupakan sebahagian daripada program bantuan bencana alam syarikat berkenaan.
“Selain Sawit Kinabalu, turut bersama ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menyumbangkan 200 bakul makanan kepada mangsa kebakaran.
“Kesemua sumbangan ini diserahkan kepada Jabatan Pengurusan Bencana Daerah untuk diselaraskan pengagihan kepada mangsa kebakaran di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di PPS Projek Perumahan Rakyat Taman Batu Sapi, di sini.
Hazem Mubarak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manila berkata pihaknya telah turun padang menyampaikan sumbangan 100 kotak air mineral kepada mangsa terjejas pada hari pertama kejadian kebakaran berkenaan.
Pada Ahad lepas, sebanyak 1,000 rumah atas air musnah dalam kebakaran di kampung itu yang menyebabkan lebih 9,000 penduduk terjejas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial