ISTANBUL, 24 April (Bernama-Anadolu) -- Iran belum membuat keputusan muktamad sama ada akan menyertai Piala Dunia FIFA 2026 yang akan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik agensi berita ISNA.
Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Iran berkata keputusan akhir akan dibuat oleh kerajaan, manakala pasukan kebangsaan negara itu sedang meneruskan persiapan.
Jurucakap kerajaan Iran Fatemeh Mohajerani sebelum ini berkata negara itu bersedia untuk penyertaan pasukan itu, dengan persiapan dan kemudahan yang disediakan.
Setiausaha Negara AS Marco Rubio pula dilaporkan berkata Washington tidak mengambil langkah untuk menghalang atlet Iran memasuki negara itu, namun menyatakan bahawa beberapa individu yang mengiringi pasukan berkenaan mungkin berdepan sekatan kemasukan.
Presiden Donald Trump turut berkata AS “tidak mahu menjejaskan atlet,” sambil membangkitkan kebimbangan berhubung pertimbangan keselamatan yang lebih luas.
Kenyataan itu dibuat selepas laporan mencadangkan Iran mungkin digantikan dalam kejohanan berkenaan, dakwaan yang kemudian dinafikan pegawai AS.
Itali turut menolak sebarang cadangan sedemikian dan menegaskan bahawa kelayakan ke Piala Dunia mesti berdasarkan merit sukan.
Presiden FIFA Gianni Infantino pada 16 April berkata Iran dijangka mengambil bahagian, sambil berkata bahawa pasukan itu telah layak dan menyuarakan hasrat untuk bertanding meskipun ketegangan masih berterusan.
Piala Dunia FIFA 2026 akan dianjurkan bersama oleh AS, Kanada dan Mexico, dengan kejohanan itu dijadual bermula pada Jun.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial