WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPKT Galak PBT Perluas Penggunaan Tenaga Solar, Teknologi Bandar Pintar

25/04/2026 07:44 PM

MELAKA, 25 April (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara memperluas penggunaan tenaga solar dan teknologi pintar dalam pengurusan bandar bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, kebersihan serta keselamatan awam.

Ketua Setiausaha KPKT Datuk Dr M Noor Azman Taib berkata inisiatif itu selari dengan agenda bandar pintar yang digariskan kementerian menerusi 85 indikator utama yang diperkenalkan bagi menilai tahap kesiapsiagaan sesebuah bandar ke arah status bandar pintar.

"Melaka khususnya menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mencapai sebahagian besar indikator berkenaan dan meletakkan bandar raya itu pada tahap yang tinggi dalam pelaksanaan agenda bandar pintar.

“Antara inisiatif diperkenalkan seperti tong sampah pintar (smart bin) selain penggunaan kamera litar tertutup (CCTV), sensor pergerakan dan sistem pemantauan yang membantu menangani isu keselamatan," katanya kepada pemberita di Bandar Hilir, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Penyempurnaan Penggunaan Solar Powered Smart Bin MBMB dan turut dihadiri Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.

M Noor Azman berkata dalam konsep bandar pintar juga terdapat elemen bandar selamat yang memberi penekanan kepada keselamatan awam serta keupayaan mengurus situasi kecemasan dengan lebih pantas dan sistematik.

Beliau berkata penggunaan smart bin berkuasa solar itu turut menyumbang kepada penjimatan tenaga kerana tidak bergantung kepada bekalan elektrik konvensional selain selari dengan galakan penggunaan tenaga hijau yang sedang diperluaskan KPKT.

“Walaupun ini merupakan produk yang dibangunkan MBMB dan akan dipatenkan, perkara baik seperti ini perlu dikongsi dan diperluaskan ke bandar raya serta PBT lain supaya aspek kebersihan dapat dikawal dengan lebih berkesan.

“Agenda bandar pintar perlu menjadi keutamaan semua pihak kerana ia bukan sahaja menyokong pembangunan di peringkat nasional tetapi juga meningkatkan daya saing bandar di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Shadan berkata smart bin berkenaan dibangunkan oleh anggota MBMB bagi memastikan kawasan tumpuan pelancong, khususnya di sekitar Bandar Hilir sentiasa berada dalam keadaan bersih dan terurus.

Beliau berkata penggunaan tong sampah konvensional sering menimbulkan aduan berkaitan sampah bersepah dan berselerak, namun masalah itu dapat dikurangkan menerusi penggunaan tsmart bin yang lebih sistematik dan efisien.

“Ketika ini lapan unit tong sampah pintar ditempatkan di lokasi strategik iaitu tujuh unit di sekitar Bandar Hilir dan satu unit di Dataran MBMB,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan