WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ketidaktentuan Global, Geopolitik Tuntut Penyesuaian Semula Ekonomi - PM Anwar 

26/04/2026 11:55 PM

PUTRAJAYA, 26 April (Bernama) -- Cabaran ekonomi global semasa yang dipengaruhi ketegangan geopolitik memerlukan Malaysia menyesuaikan semula keutamaannya dalam suasana ketidaktentuan yang semakin meningkat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata meskipun sebahagian tekanan ekonomi berada di luar kawalan negara, kerajaan perlu kekal responsif dan berpandangan jauh dalam mengurus risiko jangka pendek serta prospek jangka panjang.

“Perkara paling tidak diingini dalam mana-mana ekonomi ialah ketidaktentuan. Justeru, perkembangan terkini melibatkan konflik di Asia Barat serta implikasinya kepada rantau ini menimbulkan cabaran yang besar,” katanya ketika berucap pada Forum Siri 11 Ilmuwan Malaysia MADANI bertemakan “Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis”, anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, di sini.

Anwar berkata kerajaan ketika ini masih mampu mengekang harga bahan api domestik, dengan harga RON95 Malaysia kekal antara yang terendah di dunia.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa langkah itu melibatkan kos fiskal yang tinggi.

“Buat masa ini kita masih boleh mengekang kenaikan harga. Namun, adakah ia mampan dalam jangka sederhana atau panjang? Itu persoalan asas. Kerajaan perlu menanggung subsidi melebihi RM7 bilion bagi mengurus kesannya kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata bekalan petrol masih terkawal susulan pengeluaran domestik serta pengaturan oleh Petroliam Nasional Berhad, namun bekalan diesel merupakan cabaran yang lebih mendesak.

“Diesel menjadi isu utama. Berbanding petrol, kita lebih terhad dan perlu berdepan kemungkinan kekurangan bekalan,” katanya, sambil menambah Malaysia tidak dapat mengeksport diesel walaupun terdapat permintaan daripada negara lain berikutan keperluan domestik.

Anwar berkata perkembangan itu menuntut Malaysia meningkatkan keupayaan menjangka risiko jangka pendek dan sederhana dengan lebih berkesan, selain menjadikan pengurusan ekonomi sebagai fokus utama dasar.

“Dalam masa yang sama kita masih perlu melihat ke hadapan. Kajian masa depan amat penting bukan sahaja untuk menangani cabaran semasa, tetapi juga menjangka landskap akan datang dalam dunia pascanormal,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyeru negara-negara Islam supaya kekal proaktif serta meneroka ruang pembaharuan dan kerjasama meskipun sistem global ketika ini banyak dipengaruhi kuasa Barat.

Katanya, seruan untuk memperbaharui struktur kewangan antarabangsa, contohnya, telah lama dibangkitkan sejak 1990-an, namun masih belum direalisasikan, selain wujudnya kekurangan iltizam kolektif dalam kalangan negara termasuk negara Islam.

“Sejak 1990-an ketika saya menjadi Menteri Kewangan, terdapat desakan kuat untuk memperbaharui struktur kewangan antarabangsa, tetapi belum ada perkembangan ketara.

“Usaha ini juga gagal dilaksanakan, termasuk dalam kalangan negara Islam, untuk memulakan dengan keberanian yang sewajarnya,” katanya.

Anwar berkata kerjasama berskala kecil dan praktikal dalam kalangan beberapa negara Islam seperti Malaysia, Türkiye, Indonesia dan Pakistan dilihat boleh menjadi titik permulaan dalam memperkukuh daya tahan ekonomi dan institusi.

Forum itu menampilkan Anwar sebagai moderator dan mengetengahkan barisan panel penceramah antarabangsa dan tempatan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan; Pengarah Institut Pembangunan dan Penyelidikan Islam (IIDR) Sharif Hasan Al-Banna; serta Profesor Madya di National University of Singapore, Dr Khairudin Aljunied.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan