WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bilal Erdogan Seru Negara Islam Contohi Kepimpinan Malaysia Dalam Kewangan Islam

27/04/2026 12:18 AM

PUTRAJAYA, 26 April (Bernama) -- Negara-negara Islam diseru supaya mencontohi sektor kewangan Islam Malaysia dalam usaha membangunkan sistem kewangan yang kurang bergantung kepada rangkaian kewangan Barat, kata Necmeddin Bilal Erdogan.

Bercakap sebagai seorang daripada ahli panel di Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri Ke-11, beliau yang berasal dari Turkiye itu berkata kekuatan Malaysia dalam kewangan Islam boleh dijadikan pelan praktikal untuk kerjasama serantau.

“Malaysia mempunyai kekuatan dalam kewangan Islam, yang boleh dipelajari oleh negara Islam lain serta dilaksanakan melalui kerjasama dalam membangunkan sistem kewangan supaya kita tidak bergantung kepada rangkaian kewangan Barat,” katanya.

Erdogan, yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun berkata dunia Islam masih terlalu terikat dan dibayangi oleh pengaruh lama Eropah dan Amerika Syarikat, justeru memerlukan keyakinan baharu dalam menghadapi perubahan global.

“Kita semua masih dibayangi pengaruh lama itu. Saya fikir kita boleh membina semula keyakinan diri berdasarkan perkembangan dunia semasa, dan ini akan merapatkan hubungan antara kita.

“Kini kita melihat bahawa tamadun Barat yang sebelum ini mendakwa membawa kestabilan, kemajuan, keamanan, kebebasan, demokrasi dan nilai liberal tidak lagi memberi keutamaan kepada nilai-nilai tersebut. Nilai itu hanya dianggap relevan selagi ia selari dengan kepentingan Barat,” katanya.

Dalam masa sama, Erdogan turut menekankan kepentingan hubungan institusi yang lebih kukuh, khususnya dalam bidang pendidikan, dengan mencadangkan lebih banyak program pertukaran pelajar dan pensyarah antara Malaysia dan Turkiye.

“Jika kita melabur dalam mengeratkan hubungan pelajar sekolah menengah dan pelajar universiti supaya menjadi rakan, kita sebenarnya sedang membina sesuatu yang nyata dan bernilai untuk beberapa dekad akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Pembangunan dan Penyelidikan Islam (IIDR) Sharif Hasan Al-Banna yang turut menjadi ahli panel, berkata negara-negara Islam perlu memperkukuh perdagangan dua hala serta membentuk blok perdagangan intra-Islam bagi mengurangkan kebergantungan kepada sistem kewangan luar.

Beliau berkata integrasi ekonomi merupakan antara empat laluan ke arah perpaduan yang praktikal  dunia Islam, di samping kerjasama, kebebasan intelektual dan pakatan strategik.

Bertemakan “Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis”, forum itu menampilkan Perdana Menteri Datuk Seri  Anwar Ibrahim selaku moderator.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan