WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Permohonan SKDS Bagi Sabah, Sarawak Dan Labuan Dibuka Mulai 4 Mei - Armizan

26/04/2026 05:42 PM

PAPAR, 26 April (Bernama) -- Permohonan pendaftaran Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi kenderaan pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan dibuka bermula 4 Mei depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata kenderaan-kenderaan yang didaftarkan bagi syarikat pengangkutan darat barangan yang berkelayakan boleh memanfaatkan subsidi diesel tertakluk kepada kadar yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Sebagaimana yang telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada 6 April 2026, pelaksanaan penyaluran subsidi bahan api diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan melalui SKDS akan diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan,” katanya selepas merasmikan Program Kempen Turun Harga @ Bataras di sini hari ini.

Beliau berkata kadar harga subsidi semasa bagi SKDS sektor pengangkutan darat barangan adalah RM2.15 seliter dan pembelian diesel bersubsidi oleh syarikat pengangkutan berkenaan akan dilaksanakan menggunakan kaedah kad subsidi diesel (fleet card).

“Syarikat pengangkutan yang berkelayakan dan telah mendaftar dalam SKDS perlu memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan dengan mengemukakan bersama dokumen surat kelulusan dan senarai kenderaan yang boleh dicetak daripada SKDS,” katanya.

Armizan berkata butiran penuh pelaksanaan pendaftaran akan diumumkan pada 1 Mei 2026.

“Sebagai persiapan untuk pendaftaran, para pemilik syarikat dinasihatkan supaya memastikan ketersediaan semua rekod dan dokumen berkaitan seperti pendaftaran syarikat adalah aktif dan kenderaan-kenderaan dengan cukai jalan yang sah,” tambahnya.

Sementara itu, beliau ketika mengulas mengenai Program Kempen Turun Harga @ Bataras berkata ia adalah anjuran Bataras Sdn Bhd sebagai komitmen sebahagian pemain industri dalam membantu meringankan beban sara hidup rakyat. 

“Bataras adalah syarikat tempatan yang mula bertapak sejak 1998 dengan pengoperasian sejumlah 58 rangkaian cawangan Pasar Raya Bataras di seluruh Sabah termasuk di Papar. Menerusi kempen ini, para pengguna berpeluang membeli sejumlah barangan keperluan pada harga lebih rendah, sekali gus membantu meringankan perbelanjaan harian rakyat. 

“Kempen ini bermula 15 April hingga 30 Jun 2026 melibatkan semua cawangan Pasar Raya Bataras di Sabah. Ini akan melibatkan penawaran diskaun harga barangan terpilih hingga 70 peratus lebih murah berbanding harga asal bagi 9,000 item barangan,” katanya.

Beliau berkata kementerian berkenaan amat mengalu-alukan pelaksanaan kempen itu sebagai antara ikhtiar bersama dalam membantu meringankan kos perbelanjaan barangan keperluan rakyat, lebih-lebih lagi dalam situasi krisis bekalan global yang masih berlarutan. 

“Usaha murni ini wajar diperluaskan dan dicontohi oleh lebih banyak pemain industri termasuk subsektor peruncitan lain sebagai manifestasi tanggungjawab bersama dalam memelihara kesejahteraan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan