KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Peralihan kepada ekonomi produktiviti tinggi menjadi antara hala tuju utama kerajaan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam menghadapi peningkatan kos dan cabaran global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata negara tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan lama, sebaliknya perlu menangani cabaran ini melalui peningkatan produktiviti menerusi automasi, digitalisasi dan inovasi.
Ahmad Zahid berkata bagi menjayakan usaha tersebut industri juga dituntut untuk bersama-sama dengan kerajaan melakukan perubahan.
“Kita tidak boleh selama-lamanya melawan kos yang meningkat. Kita mesti mengatasi kos dengan produktiviti melalui automasi, digitalisasi dan inovasi.
“Syarikat yang berjaya pada masa depan bukan yang paling besar tetapi yang paling efisien dan tangkas kerana dalam dunia hari ini pendekatan yang lama tidak akan dapat menangani cabaran baharu dan yang lebih penting, kita mesti melakukannya bersama-sama,” katanya, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian menerusi ucapannya pada Majlis Minum Petang Apresiasi Kerajaan Bersama Komuniti Perniagaan yang turut dihadiri Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Datuk Ng Yih Pyng.
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menekankan kepentingan untuk memperkukuh ekosistem tenaga kerja berkemahiran melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini menjadi pilihan strategik negara.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata lebih separuh lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini memilih laluan TVET, yang menyaksikan kadar kebolehpasaran graduan melebihi 95 peratus.
Namun begitu, katanya, usaha ini tidak boleh dipikul oleh kerajaan sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif industri sebagai rakan pembina bakat.
“Kurikulum mesti dibentuk bersama-sama industri dan latihan mesti membawa kepada pekerjaan sebenar…teknologi terkini mesti menjadi asas pembelajaran dan industri mesti memilih pelatih TVET negara sebagai pilihan utama,” kata Ahmad Zahid .
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh daya tahan dan kepelbagaian rantaian bekalan dalam menghadapi ketidaktentuan global dan bukan hanya menumpukan kepada satu sumber sahaja yang boleh memberi risiko hingga menjejaskan keseluruhan sistem.
“Maka kita mesti mempelbagaikan sumber bekalan, memperkukuh jaringan serantau, menggunakan data untuk amaran awal dan membina sistem yang lebih anjal,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial