MANILA, 26 April (Bernama-PNA) -- Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. memberi jaminan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan kerajaan akan diteruskan tanpa gangguan walaupun negara sedang berhadapan dengan kecemasan tenaga nasional, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Dalam hantaran vlog terbaharunya yang dikeluarkan pada Ahad, Marcos menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh memperlahankan atau menghentikan operasi, meskipun negara menghadapi tekanan luar terhadap bekalan dan harga bahan api yang berpunca daripada krisis Asia Barat.
Presiden berkata pentadbirannya kekal komited untuk menyampaikan perkhidmatan penting, termasuk infrastruktur, penjagaan kesihatan dan pendidikan, serta sokongan kepada atlet, pelancongan dan budaya, tanpa mengira cabaran yang dihadapi.
“Kami tidak akan membiarkan perkhidmatan kerajaan lumpuh, tidak kira apa jua masalah yang menanti di hadapan,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengetengahkan program sedia ada, Marcos memaparkan inisiatif perumahan kerajaan, Program “Pambansang Pabahay para sa Pilipino”, yang bertujuan menangani tunggakan dalam sektor perumahan di negara itu.
Pada Khamis, Presiden melawat Projek Perbandaran Palayan City di Nueva Ecija, di mana beberapa bangunan kediaman di bawah program terbabit telah pun siap dan didiami.
Projek perbandaran seluas 23 hektar itu dijangka dapat menampung lebih 22,000 penerima manfaat apabila siap sepenuhnya, dengan menawarkan unit perumahan bertingkat serta kemudahan komuniti.
-- BERNAMA - PNA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial