IPOH, 27 April (Bernama) -- Empat remaja lelaki ditahan manakala 46 motosikal disita dalam Ops Motosikal (samseng jalanan) yang dijalankan di Kilometer 75, Jalan Jelapang-Ipoh-Kampung Kayan (Batu 6 Lekir) berhampiran laluan masuk ke Plaza Tol Sitiawan, Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE), di Manjung, semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta bantuan pihak WCE.
Beliau berkata dalam operasi yang bermula dari 1 hingga 6 pagi itu, polis telah memeriksa 138 motosikal dan lapan kereta.
"Sebanyak 234 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas telah dikeluarkan dan empat lelaki lingkungan umur 16 hingga 19 tahun ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu atau berbahaya.
"Selain itu, 46 motosikal turut disita di bawah Seksyen 64(1) akta sama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasbullah berkata operasi itu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan membenteras aktiviti samseng jalanan di daerah Manjung, dengan tindakan penguatkuasaan akan diambil bagi membendung kegiatan tersebut.
Beliau berkata orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat terhadap sebarang kesalahan lalu lintas atau aktiviti samseng jalanan ke Bilik Gerakan IPD Manjung melalui talian 05-6886222.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial