WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tanaman Ubi Kayu Pacu Pertumbuhan Ekonomi Luar Bandar Kemboja

28/04/2026 02:13 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 28 April (Bernama) -- Petani Kemboja kini mengubah penanaman ubi kayu menjadi industri yang menguntungkan, sekali gus memberi rangsangan kepada ekonomi luar bandar dan sektor pertanian negara itu.

Tanaman yang sebelum ini dianggap sekadar untuk sara diri kini berkembang menjadi industri eksport bernilai berbilion ringgit.

Petani kecil di Kemboja menghasilkan hampir 16 juta tan metrik ubi kayu tahun lalu, dengan eksport ubi kayu segar, kering dan kanji bernilai kira-kira US$690 juta (RM2.7 bilion) pada 2025.

Pengerusi Persekutuan Ubi Kayu Kemboja, Chray Son berkata negara itu memiliki tanah yang luas dan subur, sesuai untuk pelbagai tanaman termasuk ubi kayu.

“Secara semula jadi, keadaan ini menggalakkan dan memberi motivasi kepada petani untuk terus bertani berbanding berhijrah ke luar negara untuk bekerja,” katanya kepada Bernama.

Menurut buletin iTrade keluaran Kementerian Perdagangan Kemboja bertajuk “Exploring the potential of Cassava Products in Cambodia”, kepelbagaian ubi kayu yang ditanam petani tempatan mempunyai kandungan kanji tinggi, mudah diusahakan, tahan penyakit dan memberikan hasil tinggi.

Ubi kayu kini merupakan tanaman eksport kedua terpenting selepas padi di Kemboja. Tanaman utama lain termasuk kacang gajus, gula kabung, getah, lada, mangga dan pisang.

Dengan cuaca tropika yang panas serta hujan yang mencukupi, tanaman ini diusahakan di hampir semua wilayah di negara itu.

Kawasan tanaman meningkat daripada 663,929 hektar pada 2020 kepada 774,843 hektar tahun lalu, dengan purata hasil sekitar 20 tan sehektar.

“Persekutuan menyokong petani dari segi teknik penanaman serta penggunaan varieti berkualiti yang tahan penyakit dan cuaca. Hasil tanaman juga menepati piawaian yang diperlukan kilang dan pembeli,” kata Chray.

Kemboja kini antara pengeksport utama ubi kayu segar dan kering, selain merupakan pengeksport keempat terbesar kanji ubi kayu dunia dengan hasil eksport sekitar US$28 juta (RM110 juta).

Menurut buletin itu, eksport ubi kayu berpotensi mencecah US$1.2 bilion (RM4.7 bilion) menjelang 2030, manakala eksport kanji boleh mencapai US$26 juta (RM102 juta).

Permintaan global terhadap sisa ubi kayu juga tinggi kerana digunakan sebagai makanan ternakan, baja, produk bioteknologi dan biogas. Tanaman itu juga boleh menghasilkan glukosa cecair berkualiti tinggi.

Bagaimanapun, pengeluaran tahun ini dijangka sedikit menurun akibat cuaca panas melampau.

“Dianggarkan pengeluaran berkurangan kepada sekitar 15 juta tan metrik. Suhu yang terlalu tinggi boleh memberi kesan negatif termasuk menyebabkan tanaman mati di beberapa kawasan,” katanya.

Kemboja berusaha menjadi pengeluar utama ubi kayu dan produk hilirannya bagi pasaran global, khususnya bagi memenuhi permintaan stabil dari China.

Menurut pakar industri, permintaan China terhadap pelet ubi kayu sebagai makanan ternakan dan bahan api bio kekal kukuh.

Pengeluaran ubi kayu di Asia Tenggara kekal kompetitif, dengan Thailand, Indonesia dan Vietnam menguasai segmen itu.

Thailand, yang mengeksport sekitar 30 juta tan metrik, merupakan pengeluar ketiga terbesar dunia, diikuti Vietnam dengan kira-kira 18 juta tan metrik serta Indonesia sebanyak 17 juta tan metrik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan