KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Harga minyak mentah global meningkat mendadak berikutan pengumuman bahawa Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pakatan OPEC+.
Pada 9.52 malam, harga minyak mentah Brent meningkat 2.37 peratus kepada US$110.79 setong, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) naik 3.23 peratus kepada US$99.48 manakala minyak mentah Murban meningkat 2.54 peratus kepada US$106.84 setong.
UAE yang menghasilkan minyak Murban, menyumbang sebahagian besar daripada pengeluaran OPEC.
Ketua Analisis Geopolitik Rystad Energy Jorge Leon berkata, susulan pengunduran UAE, Arab Saudi kini memikul tanggungjawab besar untuk mengekalkan kestabilan harga manakala pasaran kehilangan satu daripada pemain penting yang membantu mengurangkan kejutan harga.
“Kehilangan sebuah negara angggota yang mempunyai kapasiti pengeluaran 4.8 juta tong sehari dan hasrat untuk meningkatkan pengeluaran, menyebabkan kehilangan satu daripada medium penting dalam kumpulan itu. Masa keputusan itu dibuat turut memberikan petunjuk mengenai hala tuju pasaran minyak.
“Apabila permintaan minyak hampir mencapai tahap kemuncak, cara pengiraan bagi pengeluar dengan kos rendah berubah dengan cepat, dan menunggu giliran dalam sistem kuota kini dilihat seperti melepaskan peluang untuk menjana keuntungan,” kata beliau menerusi nota penyelidikan malam ini.
Menurut firma penyelidikan itu, pengunduran UAE telah mengurangkan satu daripada tonggak utama yang menyokong keupayaan OPEC untuk menguruskan pasaran.
“Walaupun kesan jangka pendek mungkin tidak begitu ketara memandangkan gangguan yang masih berlaku di Selat Hormuz dan ketidaktentuan geopolitik yang meluas, kesannya lebih besar dalam jangka panjang.
“OPEC yang secara asasnya semakin lemah, dengan kapasiti simpanan yang berkurangan dalam kumpulan itu, akan sukar untuk menyesuaikan bekalan minyak dan menstabilkan harga,” menurut Rystad Energy.
Terdahulu, UAE pada Selasa dilaporkan mengumumkan keputusannya untuk keluar daripada OPEC dan OPEC+ sekali gus memberikan impak besar kepada kumpulan negara pengeksport minyak itu.
Tindakan itu berlaku ketika perang yang berterusan antara Iran dan Amerika Syarikat yang menyebabkan kejutan tenaga yang besar dalam sejarah dan menggugat ekonomi global.
Laporan itu turut menyatakan bahawa langkah itu dibuat selepas UAE mengkritik negara Arab lain kerana dianggap tidak memberikan perlindungan yang mencukupi ketika mereka diserang Iran.
Anggota OPEC yang lain termasuk 11 negara pengeluar minyak utama iaitu lima negara anggota pengasas -- Arab Saudi, Venezuela, Iran, Iraq dan Kuwait serta Algeria, Congo, Guinea Khatulistiwa, Gabon, Libya dan Nigeria.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial