WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Syarikat Teknologi Asing Wajib Sedia Latihan Kepada Bakat Tempatan - PM Anwar

28/04/2026 03:05 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Syarikat teknologi asing disyaratkan menyediakan pendedahan berkemahiran tinggi kepada bakat tempatan sebagai prasyarat untuk melabur di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata tumpuan kini merangkumi bukan sahaja industri minyak dan gas, malah sektor bahan kimia yang memenuhi keperluan baharu negara, selain bidang teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI).

“Kita tidak menerima latihan yang hanya pada tahap minimum tetapi mahukan sesuatu yang memberi kita kelebihan,” kata beliau pada sesi Temu Anwar dan peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI di sini hari ini.

Anwar berkata kerajaan kini giat membangunkan bakat AI dalam negara bagi memenuhi keperluan pelaburan teknologi tinggi yang semakin berkembang di Malaysia.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan negara mempunyai kumpulan bakat mencukupi untuk menyokong kemasukan pelaburan baharu dalam sektor teknologi dan digital.

Anwar berkata semua universiti turut digalakkan memperluas penawaran pendidikan AI agar Malaysia tidak hanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya muncul sebagai peneraju dalam bidang berkenaan.

“Semua universiti diminta ada unit atau jabatan atau fakulti AI supaya kita jangan hanya jadi pengguna malah sebagai peneraju,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata pelaksanaan Sovereign AI Cloud tidak bertujuan menyekat pelaburan syarikat teknologi global, sebaliknya hanya melibatkan kawalan terhadap data sensitif di bawah skop keselamatan negara.

Beliau berkata masih terdapat kekeliruan berhubung konsep Sovereign AI Cloud, yang tertumpu pada perlindungan data strategik kerajaan dan keselamatan nasional, bukan kawalan menyeluruh ke atas semua data dalam negara.

Sovereign Cloud, sekali lagi saya ingatkan, terbatas dalam isu di bawah skop keselamatan negara.

“Jika Google, Microsoft, AWS ingin membangunkan cloud mereka sendiri, kita tidak menghalang. Konsep Sovereign Cloud ini, tidak bermakna kita mengawal semua akses data yang ada,” kata beliau.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan