GEORGE TOWN, 28 April (Bernama) -- Malaysia dan Turkiye bersetuju menubuhkan institut akademik bersama serta memperluas peluang biasiswa sebagai langkah memperkukuh hubungan dalam bidang pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata institut Malaysia-Turkiye itu akan diwujudkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM), manakala sebuah institusi akan dikenal pasti di Turkiye.
"Penubuhan institut itu antara hasil penting mesyuarat dua hala pada Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama (JC) Malaysia-Turkiye, dengan UM juga telah memeterai persefahaman rasmi sebagai sebahagian daripada usaha merealisasikan penubuhan institut berkenaan.
"Penubuhan institut Malaysia-Turkiye ini akan menjadi platform penting dalam memperluas kerjasama akademik, penyelidikan dan pertukaran kepakaran membabitkan kedua-dua negara," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Kedua JC Malaysia-Turkiye, di sini hari ini.
Mesyuarat Kedua JC yang bermula hari ini hingga Khamis itu disertai barisan pengurusan tertinggi pendidikan tinggi Malaysia dan Turkiye, yang diketuai Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye (YOK) Profesor Erol Ozvar bersama beberapa naib canselor dan rektor universiti dari kedua-dua negara.
Mengulas lanjut, Zambry berkata kerajaan Turkiye turut menyatakan kesediaan menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia, sekali gus dijangka meningkatkan mobiliti pelajar antara kedua-dua negara.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia juga merancang untuk menghantar lebih ramai pelajar ke universiti terkemuka di Turkiye yang mempunyai kepakaran dalam bidang seperti aeroangkasa, teknologi dan penyelidikan.
Ketika ini, jumlah pelajar Malaysia di negara itu kira-kira 272 orang, namun usaha akan dipergiat bagi meningkatkan penyertaan dalam pelbagai bidang kritikal, manakala 107 pelajar Turkiye menyambung pengajian di Malaysia.
Zambry berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyokong cadangan untuk memperluas akses kepada pelajar Malaysia termasuk dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi melanjutkan pengajian di Turkiye.
Kerjasama itu juga akan menumpukan kepada bidang utama seperti kecerdasan buatan, kejuruteraan, teknologi petroleum dan pembangunan mampan dengan memanfaatkan kekuatan kedua-dua negara.
Sementara itu, Ozvar berkata lebih banyak peluang akan dibuka kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di Turkiye.
“Pelajar Malaysia dialu-alukan untuk mendaftar di universiti di Turkiye dalam pelbagai bidang, termasuk perubatan, kejuruteraan dan penjagaan kesihatan,” katanya sambil menambah bahawa kedua-dua pihak juga berminat untuk meningkatkan pertukaran sarjana dan penyelidik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial