WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bomba Perluas Radius Pencarian Kesan Kanak-kanak Hilang Jatuh Longkang

29/04/2026 02:48 PM

KUALA SELANGOR, 29 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memperluas radius operasi mencari dan menyelamat (SAR) hingga lima kilometer bagi mengesan kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Puncak Alam, di sini semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya Penolong Penguasa Bomba Azreel Izaidi Ahamad berkata operasi memasuki hari kedua itu memberi tumpuan sepenuhnya di sepanjang laluan air bermula dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh di Lorong 12/30 Cakera Purnama hingga kawasan Taman Industri Alam Jaya.

“Kaedah pencarian dibuat berdasarkan aliran air berikutan arus deras yang dipercayai menghanyutkan mangsa ke kawasan hilir selain meneliti kemungkinan terdapat pecahan aliran di beberapa bahagian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata 19 anggota terlibat dalam operasi berkenaan melibatkan pasukan dari BBP Bestari Jaya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta Unit K9 JBPM bagi memperkukuh usaha pencarian.

Azreel Izaidi berkata Unit K9 digunakan untuk mengesan sebarang petunjuk di lokasi terakhir mangsa dipercayai jatuh sebelum pencarian diperluas di laluan pembetung serta longkang di lokasi berdekatan.

“Kaedah pencarian di pembetung tidak melibatkan selaman berikutan paras air yang rendah, sebaliknya anggota hanya menyusuri kawasan tersebut secara fizikal,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan turut dilakukan di laluan bawah tanah seperti lurang dan kawasan berselekoh bagi memastikan mangsa tidak tersekat, selain pasukan penyelamat akan menyusuri kawasan hingga muara pertemuan sungai kecil dengan Sungai Buloh mengikut pelan tindakan pihak bomba. 

Semalam, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus  di Lorong Cakera Purnama, Bandar Puncak Alam sebelum operasi SAR bagi mengesan mangsa diaktifkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan