WILAYAH - TIMUR > BERITA

TFC Umum Keputusan Sama Ada Kekal Dalam Liga Super Atau Sertai Liga A1 Pada Mei Ini

28/04/2026 04:49 PM

KUALA TERENGGANU, 28 April (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) akan memuktamadkan keputusan sama ada kekal bertanding dalam saingan Liga Super atau Liga A1 Semi Pro musim depan selewat-lewatnya pada akhir Mei ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim berkata pihaknya akan mengadakan satu bengkel hala tuju untuk membincangkan segala isu dan permasalahan bola sepak negeri, termasuk keputusan itu pada 11 Mei ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu berkata bengkel yang akan dihadiri semua pihak berkepentingan dalam arena sukan bola sepak negeri itu menjadi medan terbaik untuk TFC memperhalusi sebarang cadangan sebelum mengambil keputusan akhir demi kebaikan semua pihak.

“Insya-Allah pada pertengahan bulan depan, kami akan mengadakan bengkel dan selepas itu akan umum keputusan sama ada kekal bertanding dalam Liga Super atau beralih ke Liga A1 Semi Pro musim depan.

“TFC menyedari harapan tinggi yang diletakkan peminat. Jadi, kami tidak mahu membuat keputusan drastik dan perlu diperhalusi dan diteliti semua aspek positif serta negatif. Jika kekal dengan strategi ini, apa yang harus diambil dan jika sebaliknya bagaimana pula langkahnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan dengan itu, Hishamuddin menyeru semua penyokong skuad Penyu agar bersabar dan mengelak daripada membuat atau mempercayai sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi pasukan.

Beliau berkata semua pihak perlu menerima sebarang keputusan dengan hati terbuka dan terus setia memberi sokongan kepada kelab dalam apa jua situasi dan masa.

Bernama sebelum ini melaporkan, TFC tidak menolak kemungkinan akan menarik diri daripada saingan Liga Super selepas menghadapi masalah kewangan yang tidak berkesudahan.

Pasukan itu beberapa kali dikenakan tindakan sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan tunggakan bayaran kepada pemain import.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan