WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Perlu Selaras Intervensi Dalam Kerajaan Untuk Kurangi Kebergantungan Bahan Api Fosil

28/04/2026 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Malaysia memerlukan satu rangka tindakan tenaga bersih dengan intervensi yang diselaraskan merentas semua kementerian bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, susulan krisis bekalan tenaga yang berlarutan akibat konflik geopolitik di Asia Barat.

Pengurus Penyelidik IDEAS, Nur Afiqah M. Zulkifli berkata penyelarasan di semua kementerian adalah perlu memandangkan tenaga boleh baharu bukan sahaja mengenai isu iklim, malah melibatkan isu keselamatan dan dasar perindustrian.

“Semua kementerian perlu memainkan peranan masing-masing,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Bernama World terbitan Bernama TV bertajuk Global Energy Crisis: Rethinking the World’s Energy Future pada Selasa.

Menurut Nur Afiqah, syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Petronas perlu melakukan pembaharuan dan meletakkan diri mereka sebagai peneraju tenaga bersih untuk beralih daripada pelaburan bahan api fosil.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Citizens International Imran Rasid berkata sama ada dengan atau tanpa peperangan di Asia Barat, krisis bekalan tenaga sebenarnya telah mula berlaku akibat perubahan iklim dan kebanyakan negara sudah pun menguruskannya.

Beliau berkata peperangan di Asia Barat merupakan "loceng amaran" yang menunjukkan kebergantungan kepada bahan api fosil adalah sistem yang sangat tidak stabil, terdedah kepada gangguan rantaian bekalan, dan terlalu tertumpu kepada titik geografi tertentu.

“Pada masa yang sama, spekulator memainkan peranan yang menjadikan sistem ini industri yang tidak stabil. Jika peperangan berakhir esok pun, penstrukturan semula masih memerlukan masa kerana loji penapis minyak telah diserang,” katanya.

Menurut Imran, Malaysia boleh mencontohi kisah kejayaan dari Pakistan yang menggunakan panel solar secara meluas, serta India yang kini turut beralih kepada penggunaan panel solar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan