WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pasaran Ekuiti Tempatan Kekal Berdaya Tahan, Cermin Keyakinan Pelaburan - Akmal Nasrullah 

28/04/2026 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Pasaran ekuiti tempatan kekal berdaya tahan dengan peningkatan 1.5 peratus pada Jumaat lepas, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi negara, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir. 

Beliau berkata Indeks FBM KLCI meningkat kepada 1,720.3 mata pada 24 April, 2026 daripada 1,695.21 mata pada minggu sebelumnya.

"Indeks turut mencatat paras tertinggi 1,721.7 mata pada 23, April 2026, melepasi paras prakonflik 1,716.61 mata yang dicatatkan sebelum 27 Feb, 2026. 

"Ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi negara namun, kerajaan tidak menilai kekuatan ekonomi hanya berdasarkan pasaran kewangan," katanya pada taklimat Krisis Bekalan Global secara dalam talian hari ini. 

Beliau berkata kekuatan sebenar ekonomi mesti dilihat pada kemampuan rakyat mengurus belanja harian, perniagaan mengekalkan operasi, pekerja mengekalkan pekerjaan, dan industri terus mendapat bekalan input yang diperlukan. 

Dalam masa sama, Akmal Nasrullah berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) bukan hanya berperanan mempertahankan pulangan pelaburan, malah turut membantu memperkukuh daya tahan ekonomi melalui pelaburan dalam tenaga, logistik, makanan, teknologi, infrastruktur dan industri bernilai tambah tinggi.

Beliau berkata Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut mendengar pembentangan Khazanah Nasional Bhd mengenai implikasi ekonomi jangka masa sederhana akibat krisis bekalan global. 

"Antara implikasi yang dikongsikan oleh pihak Khazanah bahawa krisis bekalan global sedang mengubah cara syarikat dan pelabur menilai lokasi pelaburan.  

"Kestabilan tenaga, akses kepada bahan input, kesinambungan logistik dan keupayaan sesebuah negara mengurus kejutan menjadi faktor utama dalam keputusan pelaburan kini," katanya. 

Beliau berkata negara yang mampu menjamin bekalan tenaga, melindungi operasi industri dan memperkukuh rantaian bekalan domestik akan mempunyai kelebihan yang lebih besar dalam menarik pelaburan.

Akmal Nasrullah berkata Malaysia mempunyai beberapa kekuatan struktur penting, termasuk kedudukan geografi strategik, asas industri yang pelbagai, infrastruktur tenaga yang stabil, di samping ekosistem elektrik dan elektronik serta semikonduktor yang semakin matang.

"Kekuatan ini turut disokong oleh keupayaan GLC yang kukuh dan keupayaan dasar untuk menyelaras respons segera merentas kementerian dengan tersusun dan berkesan. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan