PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Bekas pembantu Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern atau James Chai selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Beliau dilihat meninggalkan Ibu Pejabat SPRM di sini pada 6.30 petang selepas lebih lapan jam memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes membabitkan firma semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom, Arm Holdings Plc.
Terdahulu, James Chai tiba di Ibu Pejabat SPRM pada 10 pagi bersama peguamnya.
Beliau bagaimanapun enggan ditemu bual pengamal media yang berada di luar Ibu Pejabat SPRM.
Pada 1 April, SPRM memberi tempoh dua minggu kepada James Chai untuk tampil membantu siasatan kes membabitkan firma semikonduktor itu dengan SPRM bersedia menanggung kos penerbangan untuk pulang ke Malaysia.
Pada 16 Feb, SPRM membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggar bernilai RM1.1 bilion.
Menurut sumber, siasatan dijalankan susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian itu dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberi kesan kewangan kepada kerajaan.
Selain itu, siasatan turut menjurus kepada unsur konflik kepentingan apabila beberapa individu dikatakan telah diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing tersebut selepas berhenti daripada sebuah kementerian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial