WILAYAH - SARAWAK > BERITA

1MDB: SPRM Peroleh Perintah Larangan Transaksi Wang USD1.7 Juta Di Barbados

28/04/2026 10:18 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh perintah larangan transaksi membabitkan wang berjumlah USD1.7 juta (kira-kira RM6.7 juta) yang disimpan di Barbados, dipercayai mempunyai kaitan dengan dana diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut kenyataan SPRM hari ini, wang berkenaan disimpan dalam dua akaun perbankan di Amicorp Bank and Trust Limited, Barbados.

“Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azhar Abdul Hamid hari ini selepas berpuas hati dengan permohonan pihak pendakwaan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

“Permohonan itu menunjukkan dana berkenaan mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram hasil siasatan Bahagian Operasi Khas SPRM,” menurut kenyataan itu.

Siasatan mendapati dalam tempoh 2014 hingga 2019, beberapa individu yang juga pemegang akaun bank serta pengarah kepada syarikat luar negara disyaki terlibat dalam aktiviti menerima, menyembunyi, memindah dan mengubah wang hasil aktiviti haram melalui akaun bank syarikat tersebut di Barbados.

Berikutan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan perintah larangan transaksi kewangan melibatkan wang berjumlah USD56,285.88 (kira-kira RM 222,441.80) dalam akaun milik Lambasa Global Opportunity Fund BV dan wang berjumlah USD1,649,118.40 (kira-kira RM 6,517,315.92) dalam akaun milik Universal Ventures Fund SCC.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata tindakan ini mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam memastikan setiap dana yang diseleweng dapat dijejaki dan dikembalikan kepada negara.

Beliau berkata dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ketika ini, termasuk ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat, usaha pemulihan aset bukan sekadar tindakan penguatkuasaan, tetapi satu tanggungjawab untuk melindungi kepentingan kewangan negara. 

“Setiap ringgit yang berjaya dipulihkan adalah hak rakyat Malaysia dan akan terus diperjuangkan. SPRM terus memperkukuh kerjasama antarabangsa serta menggunakan segala saluran perundangan yang ada bagi memastikan aset disembunyikan di luar negara dapat dikesan, dibekukan dan dilucut hak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan