WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PH Kesal Tindakan 14 Adun UMNO-BN Negeri Sembilan

28/04/2026 09:00 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang menarik sokongan kepada kerajaan negeri.

Pengarah Komunikasi PH Datuk Fahmi Fadzil berkata tindakan berkenaan disifatkan sebagai tidak menghayati semangat Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata PH menolak keras langkah pengkhianatan yang dilakukan UMNO-BN negeri itu untuk cuba "menebuk atap" dan mengambil alih pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan, dengan alasan yang diberikan tidak terkait langsung dengan prestasi Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

"Tindakan UMNO-BN Negeri Sembilan ini dilakukan tanpa mempedulikan kebajikan rakyat, malah dibuat ketika Kerajaan Perpaduan dan negara berdepan krisis bekalan global, dan berusaha menguruskan ekonomi serta mengurangkan beban dihadapi rakyat," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR turut memberi jaminan bahawa pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar sedia ada berjalan seperti biasa, selaras dengan makluman yang telah disembah maklum oleh Pengerusi PH kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Beliau berkata PH kekal memberikan kerjasama penuh kepada kepimpinan kerajaan negeri demi memastikan kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat.

"PH juga akan terus mempertahan peranan serta fungsi institusi Raja-Raja Melayu," katanya.

Semalam, kesemua 14 ADUN UMNO-BN Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin, sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri itu.

Perkara berkenaan diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga ADUN BN Datuk Seri Jalaluddin Alias, dalam satu sidang media khas, susulan krisis membabitkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan, yang menurutnya perlu dihormati dan dipertahankan tanpa campur tangan politik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan