KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan lebih RM1.8 juta bagi menaik taraf kemudahan di Klinik Kesihatan Rompin dan Hospital Jempol di Negeri Sembilan, susulan kekangan yang dihadapi petugas serta pesakit di kedua-dua fasiliti berkenaan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan itu akan digunakan bagi kerja naik taraf infrastruktur fizikal yang kritikal.
Beliau berkata ia merangkumi pembaikan ruang menunggu pesakit agar lebih kondusif, penyelenggaraan fasiliti kuarters serta penggantian sistem panggilan jururawat di wad yang usang demi menjamin keselamatan pesakit.
Selain infrastruktur, beliau berkata suntikan dana berkenaan juga memfokuskan kepada perolehan aset dan peralatan perubatan baharu bagi menggantikan kelengkapan yang telah uzur.
“Akses kepada kelengkapan perubatan yang dinaik taraf ini bermakna proses diagnosis, pembedahan dan rawatan kecemasan dapat dilakukan dengan lebih pantas tanpa pesakit perlu kerap dirujuk ke hospital lain,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dzulkefly berkata peruntukan itu mencerminkan komitmen KKM di bawah kerangka Malaysia MADANI.
“Kami mahu memastikan setiap peruntukan kesihatan memberikan impak langsung kepada rakyat, menjamin kesaksamaan akses dan mempertingkatkan kualiti penjagaan walau di mana jua fasiliti itu berada,” katanya.
Beliau sebelum itu mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Rompin dan Hospital Jempol bagi meninjau realiti operasi fasiliti kesihatan serta mendengar keperluan mendesak di peringkat akar umbi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial