KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- J&T Express Malaysia sekali lagi menegaskan komitmennya terhadap pembangunan mampan susulan penerbitan Laporan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kumpulan J&T Express 2025, yang menggariskan pencapaian global dalam operasi hijau, pembangunan tenaga kerja dan tanggungjawab sosial.
Syarikat itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa di peringkat global, J&T Express terus memperkukuh transformasi ESG melalui pengoptimuman logistik berasaskan kecerdasan buatan (AI), penyelesaian pengangkutan hijau serta inisiatif pembangunan tenaga kerja di seluruh rangkaiannya.
Berdasarkan usaha tersebut, J&T Express Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif ESG di peringkat tempatan yang memberi tumpuan kepada inovasi alam sekitar, pembangunan bakat dan sokongan komuniti.
Menurut kenyataan itu, syarikat berkenaan juga memperkenalkan sistem pemantauan armada pintar berasaskan GPS yang menjejaki prestasi kenderaan secara masa nyata serta menganalisis tingkah laku pemanduan seperti melahu, membrek secara mengejut dan memandu secara laju.
Sistem itu membantu mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon di samping meningkatkan keselamatan jalan raya serta kecekapan operasi.
Kenyataan itu menyebut bahawa dari aspek sosial pula, syarikat memperkukuh kepercayaan pelanggan dengan mempercepatkan proses tuntutan untuk bungkusan yang hilang atau rosak, membolehkan pampasan diberikan dalam tempoh 24 jam dengan prosedur dipermudahkan untuk tuntutan kecil.
Dari segi pembangunan bakat, J&T Express Malaysia bekerjasama dengan Pusat Latihan Teknologi Lanjutan (ADTEC) Kuala Lumpur untuk merapatkan jurang antara pendidikan dan industri melalui program latihan praktikal menggunakan trak yang memberikan pelajar pengalaman secara langsung mengendalikan kenderaan dan peralatan logistiknya.
“Syarikat juga menyumbang peralatan profesional bernilai kira-kira RM20,000 bagi menyokong kemudahan latihan, sekali gus mengukuhkan komitmennya dalam melahirkan bakat masa depan dalam bidang logistik.
“J&T Express Malaysia turut memainkan peranan aktif dalam menyokong komuniti, khususnya ketika berlaku sesuatu bencana.
“Antaranya semasa banjir di Kelantan pada 5 Dis 2025, J&T Express Malaysia bekerjasama dengan TikTok Shop dan Mercury Malaysia Basecamp Kelantan untuk menghantar bekalan bantuan penting, dengan menyediakan sokongan logistik menyeluruh kepada komuniti terjejas,” menurut kenyataan itu.
Pengurus Hal Ehwal Awam dan Penjenamaan J&T Express Malaysia, Steve Yap berkata syarikat itu juga bekerjasama dengan Majlis Kebajikan Malaysia dan Sime Darby Berhad bagi menyediakan sokongan logistik percuma untuk pengangkutan bekalan bantuan penting ke kawasan terjejas, termasuk Kampung Bahagia di Sandakan.
“J&T Express Malaysia kekal komited untuk memanfaatkan keupayaan logistiknya dalam mewujudkan impak sosial yang positif kepada komuniti di seluruh negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial